Header Ads

Kenali penulis mushaf al-Quran

Setiap daripada kita pasti memiliki mushaf Al Quran dan kita pasti menjadikannya sebagai teman hidup seharian. Tapi tahukah kita siapakah penulis Mushaf Al Quran rasm uthmani yang kita baca pada hari ini ?

Alangkah baiknya jika kita dapat mengenali secara ringkas latar belakang insan yang dimuliakan dengan Al Quran ini.

Insan yang dimuliakan oleh Allah untuk menulis kalam kalamNya ini ialah seorang ulama kelahiran Syria yang bernama Sheikh Uthman Taha Al Halabi. Beliau berasal dari negara Syria dan dilahirkan di bandar Halab pada tahun 1934. Keluarga beliau ialah keluarga yang kuat pegangan agama dengan ayah beliau ialah khatib dan imam terkenal di bandar itu.

Beliau memegang ijazah sarjana muda dalam bidang syariah daripada Universiti Damsyiq dan merupakan seorang pengajar dalam ilmu bahasa Arab, syariah dan juga tulisan khat.

Perjalanan beliau sebagai penulis khat bermula apabila berjaya meraih ijazah dalam penulisan khat daripada penulis khat terkenal dunia Islam; Ustaz Hamid Al Amidi yang berasal dari Turki. Beliau juga mempelajari seni tulisan khat daripada penulis khat yang terkenal pada zaman ini. Antaranya ialah Ustaz Ali Al Mawlawi, Ustaz Ibrahim Ar Rafai, Ustaz Muhammad Badawi Ad Dairani dan Ustaz Hashim Al Baghdadi.

Pada tahun 1970 beliau telah menulis mushaf Al Quran beliau yang pertama untuk Kementerian Waqaf Syria. Kemudian bermula pada tahun 1988 kerajaan Arab Saudi telah menawarkan beliau untuk berkhidmat sebagai penulis Mushaf Al Madinah di Kompleks Percetakan Al Quran Malik Fahd di Madinah Al Munawwarah.

Pada tahun yang sama juga beliau dilantik sebagai panel hakim pertandingan khat yang dianjurkan tiga tahun sekali di Istanbul.

Keistimewaan tulisan khat beliau ialah pada konsintensi tulisan yang pada setiap muka surat akan berakhir dengan ayat Al Quran. Kini sudah jutaan nuskhah Al Quran bertulisan tangan beliau telah bertebaran ke seluruh pelusuk dunia dan telah dimanfaatkan oleh orang orang Islam.

Sebagai menghargai khidmat dan sumbangannya dalam penulisan Al Quran yang telah melebihi 50 tahun; kerajaan Arab Saudi telah menganugerahkan kerakyatan penuh kepada beliau.

Sehingga kini beliau telah menulis Al Quran lebih daripada 10 kali secara sempurna.

Semoga Allah merahmati dan memberkati kehidupan Sheikh Uthman Taha.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.