Header Ads

Kenapa Mat Sabu terasa dikafirkan?

Saya berani jamin tiada seorangpun pimpinan PAS menyatakan pengikut parti lain kafir. Apa yang dinyatakan oleh Mat Sabu kononnya PAS mengkafirkan orang adalah tuduhan liar yang hanya mengulang-ulang perangai Umno zaman berzaman. Mereka tiada modal lagi memburukkan pejuang Islam lebih dari itu.

Barangkali yang buat mereka terasa lebih apabila kita bacakan ayat-ayat al-Quran, Hadis, Sirah atau pandangan ulama berhubung perangai tertentu. Mungkin ada perangai yang mereka buat sama seperti yang tuhan sebutkan. Itu kita tidak boleh elak. Hukum hakam Islam memang banyak terkandung perkara membabitkan tindak tanduk kehidupan. Ada yang dipuji dan ada yang dicela.

Ayat-ayat al-Quran adalah bersifat umum. Mukjizatnya adalah kalis masa. Walaupun disebut nama firaun, mana-mana sahaja pemerintah berperangai seperti firaun maka ayat tersebut turut ditujukan pada mereka. Walaupun munafik dalam al-Quran ditujukam kepada pengikut Abdullah bin Ubai, sesiapa sahaja yang menyembunyikan agenda negatif terhadap jemaah Islam turut dikira pengikut Abdullah.

Melalui ayat-ayat al-Quran, kita tidak boleh menuduh seseorang itu firaun, kafir atau munafik secara terbuka tanpa bukti zahir. Tetapi kita boleh jadikan ayat-ayat tersebut petunjuk buat diri mengenali ciri-ciri musuh Islam untuk berwaspada dengan orang sekeliling. Jika tidak, syarak tidak akan ceritakan perangai mereka, tetapi cukup sekadar menyebut sebabnya sahaja.

Tetapi yang menghairankan, walaupun tidak pernah ditujukan kepada mereka, kenapa mereka yang terasa lebih? Sepatutnya sebagai pejuang Islam, mereka tidak akan terkesan celaan orang yang mencela walaupun ditujukan terus kepada mereka (jika benar wujud). Celaan adalah makanan orang berjuang sebagaimana firman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.
[Al-Maidah:54]

Sebaliknya al-Quran menyebut sikap cepat terasa dan berhati tisu ini adalah sifat orang munafik. FirmanNya:

وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ ۖ وَإِنْ يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ ۖ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُسَنَّدَةٌ ۖ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ ۚ هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ ۚ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ ۖ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

Dan (Orang munafik itu) apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya. (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau kata-kata yang mereka dengar) ditujukan ke atas mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya - dari kebenaran)?

Seperti saya katakan, saya tidak nyatakan ayat di atas tuhan tujukan kepada Mat Sabu and the geng. Tetapi dalam masa yang sama kita patut berwaspada dengan orang-orang yang memiliki perangai-perangai yang dinyatakan oleh al-Quran itu. Sementelah sekarang ini jemaah PAS sedang menjadi sasaran berbagai sudut, ayat-ayat amaran sebegini memang perlu ditazkirahkan selalu.

Takkan kita nak samakan Islam seperti Kristian, yang hanya tahu ajak buat baik sahaja tetapi tidak melarang buat jahat. Islam adalah agama basyir (berita gembira) dan nazir (amaran), pendekatannya targhib (mengajak) dan tarhib (mengancam).

Islam dapat bertahan hingga ke hari ini kerana sifat wasatiyyahnya. Keras pada tempatnya dan lembut pada tempatnya. Kalaulah Saidina Abu Bakar tidak berkeras mahu memerangi golongan murtad dan mereka yang tidak mahu berzakat, sudah tentu ajaran Islam tidak akan terpelihara sebagaimana hari ini.

Kita tidak boleh menerima Islam dalam bentuk pluralisme, yang menyatakan semua agama adalah betul. Kita wajib berpegang, bahawa orang yang tidak menerima Islam akan dihumban ke neraka selamanya. Jangan kerana bimbang orang bukan Islam tidak mahu menyokong kita, kita sanggup putar belit fakta dari al-Quran kononnya orang kafir tak semestinya masuk neraka.

Jika kita tidak boleh bertegas, maka akan timbullah kekeliruan sebagaimana yang berlaku terhadap kenyataan Dr Mujahid Rawa di gereja tahun lepas, dan Dr Tariq Suwaidan beberapa tahun lepas. Oleh kerana terlalu meraikan orang bukan Islam dan golongan free-thinker, ramai beranggapan kalam ultra berlapik Dr Mujahid memaksudkan Islam tidak boleh mendakwa dia paling benar, dan kalam Dr Suwaidan pula memaksudkan seseorang boleh mempertikaikan Allah. Ini adalah suatu yang amat bahaya.

Nabi SAW seawal dakwahnya terhadap Quraisy di bukit Safa lagi telah mengancam kaumnya dengan menyebut neraka. Apakah Nabi tidak tahu apa itu hikmah? Apakah Nabi tidak pandai meraikan orang? Tentu sekali tidak. Apa yang Nabi ajar adalah suatu ketegasan berprinsip dan kejelasan akidah Islam.

Lembut jangan sampai mengelirukan. Tegas jangan sampai membahayakan. Namun kebencian manusia perkara yang mustahil dielakkan. Meraikan semua orang adalah mustahil selama-lamanya.



Alang Ibn Shukrimun
Dikuasakan oleh Blogger.