Header Ads

Kerabat diraja Saudi kuasai saham kedua terbesar Twitter

Hartawan terkenal Arab Saudi, Putera Alwaleed Talal telah menambah pegangan saham bagi menguasai laman sosial makro popular antarabangsa, Twitter yang dilakukan dalam enam minggu lepas.

Tindakannya itu membolehkan baginda menguasai 5.17 peratus saham sekali gus menjadikannya pemegang kedua terbesar selepas mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan salah seorang pengasas laman itu, Evan Williams.

Menurut sumber, berita pengumuman mengenai penambahan dan pegangan saham oleh Putera Alwaleed secara kebetulan dibuat tidak lama selepas Jack Dorsey dilantik sebagai CEO terbaharu Twitter.

Putera Arab Saudi itu merupakan salah seorang yang terkaya di Arab Saudi. Berdasarkan data terbaharu yang dikeluarkan oleh majalah Forbes, Putera Alwaleed merupakan individu ke-34 paling kaya di dunia.

Baginda membeli 3 peratus saham Twitter pada 2011 dan kini menguasai 35 juta unit saham dengan nilai lebih RM4 juta termasuk lima juta unit saham yang dimiliki secara tidak langsung melalui Kingdom Holding Company.

Meskipun menjadi salah seorang pemegang saham terbesar, Putera Alwaleed ironi jarang menggunakan Twitter. Memiliki 3 juta pengikut di laman makro itu, beliau hanya menulis 171 tweet sejak menyertainya pada 2013 lalu.

Selain melabur dalam Twitter, Putera Alwaleed yang kini berusia 69 tahun itu juga mempunyai kepentingan saham secara signifikan dalam beberapa syarikat antarabangsa termasuk Citigroup, Time Warner dan Disney.

Baginda yang juga seorang dermawan sebenarnya merupakan kerabat diraja Arab Saudi serta anak saudara kepada almarhum Raja Abdullah ibn Al-Saud, yang mangkat pada 23 Januari lalu dalam usia 90 tahun.

Awal Julai lalu, baginda berikrar bakal mendermakan kesemua harta kekayaannya yang dianggarkan bernilai AS$32 bilion (RM120 bilion) kepada projek-projek amal sepanjang tahun-tahun akan datang.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.