Header Ads

Keyakinan Nabi terhadap kemenangan Islam

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
KEYAKINAN NABI TERHADAP KEMENANGAN ISLAM

Antara kisah yang terdapat dalam sirah penghijrahan Nabi adalah sewaktu baginda dalam perjalanan bersama Abu Bakar ke Madinah. Pada waktu itu pembesar Arab telah menawarkan hadiah ratusan ekor unta buat mereka yang berjaya menangkap Muhammad. Seorang hulubalang Quraisy bernama Suraqah bin Malik lantas mempersiapkan kelengkapan kerana tamakkan habuan yang dijanji.

Suraqah berjaya mengesan Rasulullah dan sahabatnya. Dipacu kudanya deras menuju kelibat baginda. Apabila hampir dengan unta Rasulullah, bumi telah memegang kaki depan kudanya menyebabkan beliau jatuh tersungkur. Rasulullah dengan tenang meneruskan perjalanan tanpa mempedulikan Suraqah.

Suraqah bangun lagi cuba mendapatkan Rasulullah. Namun sekali lagi kaki kudanga dipegang bumi dan beliau terpelanting jatuh. Beliau melakukan percuba kali ketiga namun akibatnya juga sama.

Akhirnya beliau ketakutan dan menyerah diri kepada Rasulullah. Baginda menghargai apa yang dilakukan oleh Suraqah lantas berkata,

"Sekiranya kamu beriman, aku ingin menghadiahkan padamu gelang emas kebesaran raja Parsi."

Kemudian Rasulullah meneruskan perjalanan hingga tiba di Madinah. Baginda mengasaskan negara Islam pertama berpandukan al-Quran dan Hadis sebagai tonggak perlembagaan.

Ucapan Nabi terhadap Suraqah menunjukkan keyakinan baginda yang tinggi terhadap kemenangan Islam. Walaupun belum lagi sampai ke Madinah, beliau percaya janji tuhan bahawa Islam bakal memegang kuasa pemerintahan dunia. Parsi bukan calang-calang kerajaan. Ianya digeruni seluruh kuasa lain yang ada di dunia. Baginda yakin Islam yang dibawanya akan mengalahkan rejim sebesar itu.

Setelah baginda wafat, Saidina Umar ketika menjadi khalifah telah memerangi Parsi dan berjaya membebaskan kota Parsi dari kekejaman rajanya. Kerajaannnya telah jatuh ke tangan Islam. Saidina Umar lantas memanggil Suraqah yang telah memeluk Islam dan menyerahkan gelang yang telah dijanjikan oleh Rasulullah.

Kemenangan yang diyakini oleh Rasulullah benar-benar berlaku. Tetapi suatu perkara yang mesti kita fahami adalah, kemenangan yang dijanjikan tidak semestinya akan berlaku di zaman kita. Lama setelah Rasulullah wafat, barulah kemenangan yang disebut itu tiba.

Kita jangan mengharapkan sangat kemenangan mesti berlaku di zaman kita. Biar Allah sahaja yang tentu bila tibanya kemenangan di dunia ini. Boleh jadi bukan di zaman kita, tetapi kita tetap perlu yakin.

Orang hari ini nak kemenangan cepat. Nak kemenangan Islam mesti berlaku depan mata mereka. Berjuang hanya merebut kuasa sahaja. Ini tidak betul. Kita kena faham kemenangan ada dua. Kemenangan dunia dengan tertegaknya Islam dan kemenangan akhirat iaitu syurga.

Dunia hanya sementara. Akhirat yang lebih mustahak. Tidak mengapa kalau Islam tidak menang di zaman kita. Mati sebagai seorang Islam, itulah kemenangan kita yang sebenar.

Alang Ibn Shukrimun
Masjid Rusila
16/10/2015
Dikuasakan oleh Blogger.