Header Ads

Oppo Neo 7 dual SIM dengan sokongan 4G LTE telah dilancarkan

Pengeluar peranti China, Oppo telah pun melancarkan peranti mampu miliknya yang terbaharu telefon pintar Oppo Neo 7, semalam.

Pada dasarnya Neo 7 akan menjadi pengganti Neo 5 yang dilancarkan tahun lepas. Menurut sumber, Neo 7 terlebih dahulu dilancarkan di pasaran India sebelum ia akan dilancarkan di 17 pasaran seluruh dunia.

Oppo Neo 7 dilaporkan akan memasuki pasaran peranti mampu milik dengan harga yang berpatutan sekitar USD200 atau bersamaan RM850.

Model terbaharu smartphone berjenama Oppo ini tampil dengan perubahan ketara dari segi spesifikasinya disamping paparan skrin yang lebih baik dan besar. Selain itu, kameranya telah dipertingkatkan serta prestasi yang lebih baik dengan ciri-ciri baharu.

Jika dilihat pada spesifikasi, telefon pintar ini mungkin berada di kelas pertengahan rendah. Ia membawakan skrin sebesar 5.0 inci dengan resolusi qHD yang mungkin agak rendah bagi peranti dengan harga sekitar RM850.

Selain itu, Oppo Neo 7 membawakan pemproses Snapdragon 410 dengan keupayaan CPU Empat teras 1.2 Ghz yang hadir bersama 1 GB RAM dan 16GB memori dalaman. Slot memori tambahan microSD juga tersedia untuk peranti ini termasuk dilengkapi Dual SIM.

Bagi kamera pula, Neo 7 dilengkapi dengan kamera belakang 8 Megapixel dengan flash LED, sensor bersaiz 1/4 inci serta bukaan kanta f/2.0. Kamera hadapan pula hadir dengan 5 Megapixel.

Antara ciri-ciri lain yang terdapat pada model baru ini termasuk menggunakan platform Android 5.1 Lollipop, menyokong sambungan 4G LTE, Bluetooth (v4.0), Wi-Fi 802.11 b/g/n, dan GPS. Neo 7 turut dilengkapi bateri 2.420 mAh.

Peranti dengan berat 141 gram ini akan dipasarkan dengan tiga versi iaitu versi Amerika Syarikat (AS), India, dan antarabangsa dengan pilihan warna hitam dan warna putih.

Mungkin Oppo Malaysia tidak ketinggalan akan membawa masuk ke pasaran tempatan, namun tarikh rasmi pelancaran serta harga belum lagi diumumkan.
Dikuasakan oleh Blogger.