Header Ads

Pemimpin PKR, DAP bertelagah sesama sendiri

Meskipun berada di bawah satu bumbung politik Pakatan Harapan, wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan wakil rakyat DAP terus bertelagah sesama sendiri berhubung isu Bazar Deepavali di Sungai Way yang menimbulkan kontroversi.

Semalam, Ahli Parlimen Subang PKR, R.Sivarasa meminta Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara DAP, Tony Pua jangan menyibuk tentang urusan Bazar Deepavali di kawasan tersebut kerana Selangor kini ditadbir PKR.

Hari ini, Tony Pua membalas kenyataan itu dengan menggesa Sivarasa jangan cuba memberi syarahan kepada beliau tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh wakil rakyat walaupun beliau seorang Ahli Parlimen DAP.

“Dia (Sivarasa) tidak mempunyai rasa hormat untuk menelefon saya bertanya apa yang berlaku Khamis lalu sebelum mengeluarkan kenyataan berbentuk syarahan bagaimana saya perlu melakukan kerja saya sebagai Ahli Parlimen.

“Pertama sekali, saya tidak mahu tahu bagaimana dia (Sivarasa) menguruskan hal ehwal kawasannya sendiri, tetapi ia bukan polisi saya untuk mengabaikan kepentingan kawasan saya walaupun ia melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT),” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, Sivarasa meminta Tony Pua yang Pengerusi DAP Selangor supaya jangan menyibuk tentang urusan Bazar Deepavali di Selangor yang ditadbir PKR.

Beliau sebaliknya meminta Tony selaku pemimpin DAP terus memberi tumpuan ke atas kerja-kerja membangkit-bangkitkan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sivarasa membuat kenyataan itu bagi membidas tindakan Tony menuduh dua pemimpin PKR di Kelana Jaya sebagai gengster yang mengawal kawasan tersebut.

Tony baru-baru ini mendakwa Setiausaha PKR Kelana Jaya, S.Murali dan seorang lagi pemimpin parti itu yang digelar sebagai Samy melakukan aktiviti-aktiviti gengster di Kelana Jaya termasuk memeras ugut peniaga di kawasan tersebut.

Beliau turut mendakwa Murali dan Samy mengetuai sekumpulan gengster yang terdiri daripada ahli PKR bertindak mengugutnya ketika mengadakan sidang media di hadapan Kuil Easwari di Sungai Way baru-baru ini. –mynewshub
Dikuasakan oleh Blogger.