Header Ads

ADUN berkecuali: Pendirian Kit Siang 2002, kini berdiam diri

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berang selepas lima ADUN PKR memilih untuk berkecuali berhubung usul yang dikemukakan oleh seorang pemimpin Umno.

Setiausaha Agung DAP itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pengkhianatan dan pemberontakan, serta kemungkinaan cubaan rampasan kuasa dalam PKR Pulau Pinang.

Dakwanya tindakan berkecuali ibarat menyokong Umno dan BN bagi menentang kerajaan negeri Pakatan Harapan.

Usul supaya diberi lebih ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam urusan projek penambakan laut itu ditolak setelah ia gagal mendapatkan sokongan daripada sekurang-kurangnya 21 daripada 40 ADUN.

Bapa Guan Eng, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang telah diam mengenai setakat ini.

Tetapi pada tahun 2002, ketua pembangkang itu menekankan kepentingan saling menghormati apabila situasi yang sama berlaku di kalangan ADUN BN, apabila ia mentadbir Pulau Pinang.

Ketika itu, ADUN DAP Law Heng Kiang membawa usul untuk menangguhkan projek Jalan Lingkaran Luar (PORR) di Pulau Pinang yang bernilai RM1.02 bilion.

Dua wakil MCA ketika itu, Tan Cheng Liang (Jawi) dan Lim Boo Chang (Datuk Keramat) memilih untuk berkecuali, dan ini dibidas rakan-rakan mereka.

Kit Siang memberi analisis yang mendalam mengenai perkara itu daripada perspektif Timbalan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, ketika itu yang memberi amaran untuk memecat dua ahli MCA tersebut.

Pemimpin veteran itu juga memberikan nasihat kepada presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik mengenai kemelut berkenaan.

"Ling boleh membeli sedikit masa untuk dirinya dengan tunduk kepada ugutan politik Umno dan mengorbankan dua wakil rakyat Pulau Pinang itu serta mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka atau cuba untuk membebaskan dirinya dari keadaan serba salah ini dengan memaksa kedua-dua mereka secara sukarela meletakkan jawatan daripada MCA sebelum keputusan Majlis Presiden MCA.

"Tetapi ini adalah cara penyelesaian yang hina dan tidak boleh ditangguhkan terlalu lama dalam apa jua keadaan kerana Ling akan lihat tulisannya di dinding," katanya. -MK
Dikuasakan oleh Blogger.