Header Ads

Guan Eng semakin angkuh, hubungan PKR-DAP retak?

Tindakan ‎Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menuduh lima wakil rakyat PKR 'bersama Umno' menunjukkan berlakunya keretakan hubungan antara DAP dan PKR di Pulau Pinang.

Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon berkata, keretakan ini berlaku kerana lima wakil rakyat tersebut bertindak berkecuali ‎daripada mengundi usul tebus guna tanah di Pulau Pinang.

‎"Kita nampak sangat keretakan dan perpecahan di pakatan selepas pergaduhan di antara DAP dan Pas.

"Sekarang PKR juga menunjukkan ketidakpuasan hati mereka," katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen.

Mengulas lanjut, Sin Woon menjelaskan bahawa Guan Eng kini semakin angkuh dan langsung tidak boleh menerima sebarang komen dan kritikan.

"Sudah ada di depan mata kita bagaimana keangkuhan Guan Eng dan menjadikan dia seorang yang tidak boleh menerima sebarang komen termasuk di Pulau Pinang," katanya lagi.

Sebelum ini, Pemuda PKR Pulau Pinang mendesak Guan Eng menarik balik dan memohon maaf secara terbuka atas keterlanjuran membuat tuduhan melulu terhadap lima wakil rakyat PKR berikutan isu usul tambakan laut.

Ia ekoran tindakan lima wakil PKR tidak mengundi di dalam usul isu tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar.
Dikuasakan oleh Blogger.