Header Ads

Khairuddin, Matthias bebas dengan ikat jamin RM10,000

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bersama peguamnya, Matthias Chang dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 masing-masing bersama seorang penjamin, pagi ini.

Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Husin yang berkata, pendakwaan ke atas mereka berdua yang dituduh cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara tidak tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Dua minggu lalu, Azman mendengar penghujahan panjang berhubung tiga soalan berkaitan perlembagaan yang dikemukakan peguam, Haniff Khatri Abdulla dan Zainur Zakaria, sama ada pertuduhan ke atas Khairuddin serta Chang di bawah Seksyen 124 (L) Kanun Keseksaan tidak tertakluk di bawah Sosma, menurut peruntukan dalam Perkara 149 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Azman berkata, beliau bersetuju dengan soalan pertama dikemukakan kedua-dua peguam terbabit dan memberi ikat jamin kepada dua tertuduh itu.

Khairuddin kemudiannya berdiri dan berpusing menghadap keluarga serta penyokongnya yang duduk di belakang, disusuli tepukan gemuruh mereka yang berada dalam bilik mahkamah itu.

Azman berkata, apabila Parlimen menggubalkan akta (Perlembagaan Persekutuan), ia tidak pernah berhasrat untuk tindakan sedemikian (bagi perkhidmatan perbankan dan kewangan untuk didakwa di bawah Sosma).

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Masri Daud dan Abazafree Abbas mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 setiap satu bersama seorang penjamin.

Hakim bersetuju dengan jumlah itu dan menetapkan syarat tambahan supaya pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ini ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.

Selepas prosiding ditangguhkan, kedua-dua tertuduh itu bertindak memeluk ahli keluarga mereka.

Timbalan Pendakwa Raya kemudiannya memberitahu wartawan, mereka mungkin mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Selain ahli keluarga dan penyokong, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya, Dr Siti Hasmah serta bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid turut hadir di mahkamah hari ini.

Dr Mahathir yang berjabat tangan dengan bekas Setiausaha Politiknya serta Khairuddin dalam bilik mahkamah, bersyukur dengan keputusan itu.

“Saya gembira keadilan telah ditegakkan. Saya berpendapat tiada kes di bawah undang-undang itu.

“Sekarang hakim telah katakan tidak dan saya harap ini adalah pendirian hakim-hakim untuk tunjukkan mereka berkecuali dan akan bertindak berdasarkan undang-undang.

“Ia telah menambah keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman dan saya harap ia akan sentiasa seperti ini,” katanya.

Khairuddin ditahan di bawah Sosma pada 23 September lalu, manakala Chang ditahan pada 8 Oktober lalu, selepas melawat Khairuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Mereka berdua didakwa di Mahkamah Majistret pada 12 Oktober lalu, di bawah Seksyen 124 (L) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Mereka didakwa cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara, antara 28 Jun hingga 26 Ogos lalu di beberapa lokasi, termasuk balai-balai polis di Paris, Switzerland, Hong Kong, London dan Singapura.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

sumber: therakyatpost.com
Dikuasakan oleh Blogger.