Header Ads

4 pegawai dari 3 kementerian disiasat SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat empat pegawai daripada tiga kementerian yang terlibat dalam projek yang menerima teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2014 Siri 3, baru-baru ini.

[ads-post]Perkara itu diberitahu oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata pegawai-pegawai daripada Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan itu juga disiasat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan tatatertib.

Kes terbabit adalah kes pengurusan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak dan projek menaik taraf Hospital Nora Ismail, Batu Pahat di Johor, iaitu dua daripada 12 teguran punitif yang diterima dalam LKAN Tahun 2014 Siri 3.

“Pihak SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap empat pegawai daripada kementerian terbabit kerana disyaki ada unsur-unsur perlakuan rasuah.

“Siasatan ini berjalan secara serentak. Jika didapati bersalah, mereka akan didakwa di mahkamah. Kalau tidak ada kes, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk tindakan tatatertib,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Ali berkata, berdasarkan siasatan juga, dua teguran di Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pendidikan telah melibatkan kerugian di pihak kerajaan sebanyak RM501,524.33.

Daripada jumlah itu, ia melibatkan kerugian kerajaan sebanyak RM416,433.33 bagi kes Pengurusan Kerja Awalan melalui kontrak kerja di Kementerian Kerja Raya; RM85,091 untuk pengurusan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama; dan kemudahan lain yang berkaitan di Kementerian Pendidikan, katanya.

“Kerugian adalah berikutan pembayaran yang dibuat tidak mengikut spesifikasi kontrak. Teguran-teguran lain tidak melibatkan kerugian kewangan sebaliknya kesalahan yang berlaku adalah akibat ketidakpatuhan kepada peraturan kewangan,” katanya
Dikuasakan oleh Blogger.