Header Ads

Selangor juara Piala Malaysia musim 2015

Akhirnya impian Selangor merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke 33 menjadi kenyataan selepas berjaya menumpaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam, malam ini.

[ads-post]Keputusan separuh masa pertama perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2015 berjaya meletakkan Selangor di hadapan apabila Ahmad Hazwan Bakri menjaringkan gol pertama Red Giants 1-0 selepas menyudahkan hantaran Guilherme De Paula di minit ke-4 menewaskan penjaga gol Kedah.

Perlawanan separuh masa dilihat sedikit tegang dengan asakan keras kedua-dua pasukan di atas padang yang basah dan licin.

Separuh masa kedua bermula, namun Kedah nampaknya gagal mengambil pengajaran daripada separuh masa pertama apabila tuan rumah Selangor dilihat betul-betul pandai mengambil kesempatan di awal minit permainan setiap separuh masa.

Seperti di separuh masa pertama, Selangor tidak mengambil masa yang lama untuk gol kedua mereka apabila sekali lagi Hazwan Bakri menambah gol kedua buat Red Giants selepas membuat serangan pantas di sebelah kanan pintu gol Kedah.

Hazwan Bakri melakukan penyudah yang kemas dengan kaki kiri di minit ke-48 selepas sekali lagi menerima lorongan Guilherme De Paula, meletakkan Red Giants selesa 2-0 di hadapan.

Nampaknya di separuh masa kedua, kedua-dua pasukan dilihat berbalas serangan ke kubu lawan masing-masing.

Kedah melakukan pertukaran pertama di minit ke-58, apabila Farhan Roslan masuk menggantikan Syazwan Tajudin.

Kedah kembali menyusun permainan apabila melakukan asakan ke kubu Selangor. Pemain yang baharu masuk, Farhan Roslan mendapat peluang di minit ke-65 selepas menerima hantaran daripada Liridon Krasniqi di sebelah kanan, namun tandukan Farhan Roslan sedikit tinggi melewati palang gol Selangor.

Keputusan 2-0 kekal hingga penghujung permainan.

Dengan itu, Selangor akhirnya dinobat selaku juara TM Piala Malaysia musim 2015 sekaligus berjaya mencapai impian menggapai juara kali ke-33 kejohanan berprestij bola sepak Malaysia.-themalaysianview.com
Dikuasakan oleh Blogger.