Header Ads

Anwar kutuk pakatan Tun Mahathir - Kit Siang

Sebelum ini bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad berganding dengan pembangkang dalam usaha menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anwar kini, walaubagaimanapun mengkritik gabungan Dr Mahathir bersama Lim Kit Siang ekoran pakatan tersebut tidak memberi penekanan kepada aspek kuasa rakyat.

Anwar yang bercakap kepada pemberita di luar Mahkamah semalam berkata, Dr Mahathir dan Kit Siang tidak cukup untuk menyingkirkan Najib.

“Kamu tidak boleh menggunakan golongan elit untuk menentukan hala tuju negara. Ia mesti menerusi pilihan demokrasi rakyat. Jadi, kembali kepada tadbir urus institusi dan demokrasi. Itu yang didapati kurangnya dalam deklarasi yang dibawa oleh mereka,” kata Anwar.

Beliau turut menyifatkan gerakan tersebut tidak membawa sebarang perubahan kepada institusi penting di negara selain mengurangkan kuasa rakyat.

Secara realitinya, kenyataan Anwar ada kebenaran sekiranya diteliti kembali majlis Kongres Rakyat 2016, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Ahad baru ini.

Seramai 20 pembahas mengambil tempat berucap antara 10 hingga 15 minit setiap orang menampilkan pemimpin terkemuka seperti Dr Mahathir dan Kit Siang sendiri, selain Datuk Seri Azmin Ali, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahahtir, Mohamad Sabu, Rafizi Ramli dan pemimpin pembangkang lain.

Rata-rata mereka berucap mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak menerima derma RM2.6 bilion selain menuduh dana tersebut dicuri Perdana Menteri dari syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menampilkan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin masyarakat sivil, seperti Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah serta S Ambiga, mereka mendesak agar Najib segera berundur sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Desakan seumpama ini jelas membelakangi amalan demokrasi negara dengan meletakkan pilihan raya sebagai medium memilih pemimpin.

Malaysian digest
Dikuasakan oleh Blogger.