Header Ads

Deklarasi Rakyat mahu Najib undur, bukan tukar kerajaan BN

Matlamat utama Deklarasi Rakyat adalah untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya dan bukan bertujuan menjatuhkan atau menukar kerajaan sedia ada.

Ini diakui sendiri oleh Timbalan Presiden Umno yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian, di pejabat beliau, semalam.

Namun, langkah-langkah pembaharuan institusi atau reformasi dari segi pentadbiran akan dibincangkan selepas Najib berundur.

“Kita ketepikan perkara (perubahan institusi dan reformasi) itu buat seketika. Kita selesaikan perkara (pengunduran Najib) ini dahulu. Kemudian bolehlah berbincang memperbaiki masa depan negara. Itu tujuan kita semua,” katanya.

Menurut Muhyiddin, pada peringkat pertama, melalui Sekretariat Selamatkan Malaysia, mereka akan bergerak memberi penerangan kepada rakyat apakah maksud Deklarasi Rakyat itu.

“(Bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan jadual dan saya sendiri akan terlibat dalam banyak program untuk memberi penjelasan dan penerangan, terutama kepada ahli parti dan masyarakat agar memahami apakah tujuannya.

“Kita mahu menggalakkan lebih ramai bersetuju dengan perjuangan kita dan menandatangani Deklarasi Rakyat. Saya harap rakyat bersedia membuka ruang supaya inisiatif ini dapat disebar luaskan. Perlu diingat, kita bergerak atas landasan undang-undang,” katanya.

Ditanya adakah Himpunan Anti Najib 27 Mac ini sebagai antara langkah awal Deklarasi Rakyat, Muhyiddin berkata, himpunan itu diatur lebih awal oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

“Kebetulan himpunan itu mempunyai tujuan yang sama dengan Deklarasi Rakyat, iaitu menyelamatkan negara dan tidak bercanggah dengan tujuan Deklarasi Rakyat,” katanya.

Tegas Muhyiddin, Deklarasi Rakyat dibuat demi menyelamatkan Umno dan negara. Ia adalah suatu usaha murni, di mana rakyat dan pimpinan pelbagai sudut, ideologi, fahaman politik, latar belakang dan kedudukan mengetepikan perkara itu untuk mencapai tujuan yang sama.

“Kalau dilihat dari sudut itu, saya bukan pengkhianatnya. Saya adalah usaha penyelamatnya supaya kita bangkitkan kesedaran ahli Umno dan BN.

“Kalau ini tidak berlaku, keadaan akan bertambah lebih teruk, yang akhirnya disebabkan Najib tidak berhenti. Maka bebanan yang ditanggung itu akan ditanggung bersama parti, dan akhirnya parti akan ditolak oleh rakyat.

“Kerana itu, saya berani ke depan. Saya ada rasa tanggungjawab dan amanah walaupun saya tahu saya akan dicerca, digantung jawatan dan mungkin dipecat,'' katanya.

Sinar harian
Dikuasakan oleh Blogger.