Header Ads

Harimau Malaysia persahabatan dengan Macau selepas aksi terakhir kelayakan Piala Dunia menentang Arab Saudi

Pasukan kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee bakal menguji Macau dalam satu aksi persahabatan bertaraf ‘A’ di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Selasa, 29 Mac ini.

Perlawanan tersebut akan diadakan selepas Malaysia menutup aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Arab Saudi di Jeddah pada 24 Mac.

“Selepas bertemu Arab Saudi di Jeddah, kita akan terus pulang ke tanah air pada awal pagi 25 Mac dan tiba di KLIA pada sebelah petangnya, lalu pasukan terus ke Melaka sehingga hari perlawanan bertemu Macau pada 29 Mac.

“Kita sudah cuba menghubungi beberapa pasukan tetapi kebanyakan mereka terlibat beraksi pada hari perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu. Akhirnya kita dapat juga pasukan yang tidak terlibat iaitu Macau” kata Kim Swe yang turut memaklumkan FAM cuba mendapatkan satu perlawanan persabahatan menentang Nepal namun respon yang diberikan lawan terlalu lewat.

“Kita perlu segera menetapkan siapa pasukan lawan yang mana ia penting bagi memudahkan persiapan kita,” kata Kim Swee lagi yang dipetik dari laman web rasmi FAM.

Berdasarkan ranking FIFA pada kemas kini terakhirnya 4 Februari lalu, Malaysia kini di kedudukan ke-171 dunia manakala Macau di kedudukan ke-195.

Ditanya harapannya untuk aksi bertemu Macau itu, Kim Swee berkata: “Harap kita mampu mendapatkan kemenangan terutamanya jika melihat kepada ranking kita. Pada masa sama, perlawanan ini penting bagi memastikan kita tidak ketinggalan terutama dalam proses memperbaiki kedudukan ranking.”

Sementara itu, senarai nama pemain dipanggil untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaysia kali ini dijangka diumum Kim Swee pada 13 Mac ini.

Ini merupakan panggilan sulung skuad Harimau Malaysia sejak Kim Swee dilantik secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan pada 18 Januari lalu dan skuad kebangsaan menggunakan nama gelaran baharu Harimau Malaysia yang diumumkan pada 2 Februari lalu.

Dunia sukan
Dikuasakan oleh Blogger.