Header Ads

Lapan aduan SPRM terhadap Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berdepan lapan aduan rasuah daripada pelbagai pihak berikutan kontroversi pembelian banglo dengan harga yang murah walaupun harga pasaran sebenar lebih mahal.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan.

Menurut Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki, pihaknya telah memanggil beberapa saksi dan mengumpul dokumen-dokumen berkaitan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

“SPRM juga menerima banyak pertanyaan antaranya ialah bilakah keterangan daripada Guan Eng akan diambil.

"Keterangan beliau akan diambil setelah saksi-saksi selesai memberikan keterangan malah ia juga bergantung kepada keadaan selepas dokumen-dokumen yang diperoleh diteliti dan keterangan saksi diambil,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan sinar harian.

Bagaimanapun, Azam memaklumkan bahawa Guan Eng boleh mengadakan pertemuan dengan SPRM pada bila-bila masa sekiranya beliau bersedia dan mahukan siasatan berhubung isu itu disegerakan.

Azam berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa SPRM akan menjalankan tugas dengan bebas dan telus sebagaimana kes-kes lain yang disiasat sebelum ini.

Sebelum ini sebuah portal melaporkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya mengaitkan pembelian rumah Ketua Menteri itu dengan penjualan tanah kerajaan negeri yang dijual pada tahun 2012.
Dikuasakan oleh Blogger.