Header Ads

LTdL: Adiq Husainie catat sejarah pelumba Malaysia pertama raih jersi putih

Pelumba Pasukan Lumba basikal Profesional Terengganu (TSG), Muhamad Adiq Husainie Othman mengukir sejarah apabila muncul pelumba Malaysia pertama meraih jersi putih selaku Pelumba Terbaik Asia sejak Le Tour de Langkawi (LTdL) yang mula diperkenal pada 1996.

Adiq menyifatkan kejayaannya pada LTdL 2016 itu sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia khasnya Terengganu.

Menurutnya, kejayaannya menjadi pelumba Malaysia pertama menyarung jersi berkenaan sejak edisi pertama LTdL adalah atas kerjasama erat yang diberikan rakan sepasukan, jurulatih serta kru pasukan berkenaan.

“Kejayaan ini juga disebabkan latihan persediaan yang dijalankan oleh pasukan di luar negara, sebelum ini dan saya berharap dapat meneruskan kecemerlangan pada kejohanan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas LTdL 2016 melabuhkan tirainya di Dataran Pahlawan, Rabu.

Untuk rekod, Muhamad Adiq pernah menyarung sementara jersi putih pada peringkat kedua LTdL 2015 dari Alor Setar ke Sungai Petani sejauh 185km.

Pada peringkat kelapan yang merupakan peringkat terakhir LTdL 2016 melibatkan jarak sejauh 119km dari Batu Pahat ke Dataran Pahlawan hari ini, pelumba berusia 24 tahun itu menduduki tangga ke-38 daripada keseluruhan 121 pelumba.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kesediaan untuk menyertai mana-mana pasukan pro benua sekiranya menerima tawaran yang sesuai namun menegaskan masih setia bersama TSG yang disertainya sejak 2014.
Dikuasakan oleh Blogger.