Header Ads

Mourinho atau Mancini akan ganti Wenger di Arsenal?

Jodoh Arsene Wenger dengan Arsenal dilaporkan bakal berakhir selepas banyak desakan agar pengurus dari Perancis itu dipecat dari skuad The Gunners.

Bukan itu saja, malahan ada pemain bintang yang turut mengancam akan meninggalkan Arsenal jika Wenger masih dikekalkan musim depan.

Desakan agar Wenger dipecat muncul selepas prestasi The Gunners yang merudum teruk dan kelab itu dijangka gagal merangkul sebarang trofi musim ini walaupun mempunyai barisan pemain yang berkualiti.

Kini kedengaran pelbagai spekulasi tentang siapa yang bakal menggantikan Wenger. Media di England melaporkan Arsenal berusaha memikat Jose Mourinho untuk menggantikan Wenger, namun bekas pengurus Chelsea itu dikatakan menolak kerana hanya berminat untuk melatih Manchester United. Walau bagaimanapun, berita itu dinafikan oleh Arsenal seperti dilaporkan The Sun.

Kini muncul pula spekulasi terbaru seperti dilaporkan oleh media dari Itali, Corriere dello Sport pada Selasa. Media berkenaan menyebutkan nama jurulatih Inter Milan, Roberto Mancini, sebagai calon sebenar yang akan menggantikan Wenger di Arsenal.

Namun menurut media berkenaan, Mancini hanya akan menjadi pengurus baru kelab The Gunners jika Wenger gagal membawa kelab dari London itu ke Liga Juara-Juara musim depan. Namun laporan itu didakwa sekadar khabar angin kerana Arsenal masih berada di zon kelayakan Liga Juara-Juara. Pada masa ini Arsenal masih menduduki tempat ketiga teratas Liga Perdana Inggeris.

Menurut laporan Corriere Delle Alpi pula, sehingga kini belum ada perbincangan secara langsung antara kelab dan jurulatih dari Itali itu.

Namun begitu, Mancini yang masih mempunyai kontrak bersama Inter hingga 2017 itu didakwa tidak akan menolak jika mendapat tawaran menjadi pengganti Wenger.
Dikuasakan oleh Blogger.