Header Ads

Mukhriz, Shafie kekal, tak ikut jejak Mahathir

Bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal hari ini mengambil pendirian untuk tidak keluar daripada Umno.

Mukhriz dan Shafie memilih pendekatan sama supaya boleh melakukan kritikan dari dalam parti.

Mukhriz berkata, walaupun beliau tidak mengikut jejak ayahnya Tun Dr Mahathir Mohamad untuk keluar parti namun prinsip mereka tetap sama.

"Saya bersama Muhyiddin dan keahlian dan kekal masih ahli Umno dan saya buat keputusan untuk mengkritik dari dalam dan ini tidak bercanggah pendirian Mahathir.

"Pendekatan mungkin berbeza tetapi prinsipnya sama iaitu nak tegak kebenaran dan kebenaran didedahkan jika berlaku kemungkaran dan kebatilan," kata Mukhriz.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Shafie di ibu negara hari ini.

Sementara itu, Shafie pula berkata,isu sama ada beliau keluar dari Umno tidak timbul memandangkan dirinya masih memegang jawatan naib presiden serta ketua bahagian Umno di Semporna.

"Saya kesal apa yang telah berlaku dan dari segi proses yang telah diambil terhadap Muhyiddin. Apa yang Muhyiddin cuba lakukan ialah untuk memastikan Umno mendapat penghormatan daripada semua rakyat Malaysia.

"Saya masih ahli Umno dan soalan itu (keluar dari Umno) tak timbul. Cuma kebimbangan saya ialah masalah Umno ini. Ia bukan salah Umno," katanya.

Isnin lalu, Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengisytiharkan keluar Umno sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia adalah kali kedua Mahathir keluar daripada Umno.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau membuat keputusan berkenaan kerana Umno hanya menjadi parti untuk mempertahankan Najib sebagai presidennya.

“Saya tidak boleh jadi anggota untuk parti sebegini,” katanya sambil menambah akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.

malaysiakini
Dikuasakan oleh Blogger.