Header Ads

PSM bidas pemimpin PH terburu-buru sekutu dengan Tun Mahathir

Parti Sosialis PSM membidas pemimpin masyarakat sivil dan Pakatan Harapan kerana terburu-buru bersekutu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menandatangani deklarasi rakyat untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang didakwanya sama seperti mengesahkan pemerintahan Umno-BN.

"Sidang media itu hanya membuktikan betapa lemahnya kekuatan dan idea pembangkang dan masyarakat sivil sebenarnya. Tidak dapat menyelesaikan pertelingkahan di kalangan mereka, mereka telah memutuskan untuk bersekutu dengan mana-mana bekas diktator yang membuat seruan yang sama," kata setiausaha agungnya a Sivarajan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata apabila pemimpin HARAPAN menandatangani dokumen tersebut, ia sama seperti mereka secara tidak langsung mengesahkan pemerintahan Umno-BN.

"Sebarang rancangan jangka pendek untuk hanya menukar pemimpin 'barah' tetapi mengekalkan pemerintahan parti dominan yang sama, akan membawa bencana kepada masa depan politik Malaysia," katanya.

Beliau membangkitkan isu-isu yang amat ketara dalam deklarasi itu, dengan berkata HARAPAN dan masyarakat sivil tidak benar-benar boleh percaya bahawa Mahathir dan gabungan itu akan dibenarkan untuk melakukan perubahan struktur yang signifikan dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, dan badan kehakiman selagi Umno-BN masih berkuasa.

Sivarajan juga menekankan tentang perkataan-perkataan yang samar-samar dan struktur deklarasi itu.

"Apa selepas ini? Bagaimana ia akan dilaksanakan? Apa kuasa eksekutif gabungan itu ada? Siapa yang membuat keputusan dalam gabungan ini? Adakah ia satu gabungan yang demokratik? Atau ia akan didominasi oleh Mahathir?"

Sivarajan berkata selagi Umno-BN berkuasa, rakyat akan terus menderita.

Beliau juga menegaskan bahawa pentadbiran Najib adalah kesinambungan warisan legasi autoritarian Mahathir, sambil menambah bahawa pakatan untuk menggulingkan Najib hanya menjadikan kedua-dua HARAPAN dan pemimpin masyarakat sivil, sebagai sasaran kritikan awam.

Walaupun pemimpin-pemimpin terbabit berada di sana atas kapasiti peribadi mereka, Sivarajan berkata, ia akan menjadi sukar untuk membuat garisan pemisah antara pendapat peribadi dan organisasi atau parti politik yang mereka wakili.
Dikuasakan oleh Blogger.