Header Ads

Tiada rakyat Malaysia terbabit serangan bom di Ankara

Serangan bom kereta yang menyebabkan 34 orang terbunuh di Ankara, Turki. | foto by Getty Images
Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terbabit dalam serangan bom kereta yang berlaku di Ankara, Turki, semalam yang meragut sekurang-kurangnya 34 nyawa dan mencederakan 125 yang lain.

Wisma Putra, dalam satu kenyataan sebentar tadi, menyatakan kerajaan Malaysia mengutuk serangan itu yang disifatkan sebagai satu tindakan keganasan dan pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

"Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan Republik Turki serta kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam serangan itu "Kedutaan Besar Malaysia di Ankara kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa di Turki untuk mengesahkan sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang terbabit dalam serangan itu.

"Sehingga kini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terbabit dalam kejadian ini. Kedutaan juga akan terus berhubung dengan rakyat Malaysia di sana termasuk pelajar yang menuntut di Ankara," katanya.

Wisma Putra juga mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin atau pun melawat Ankara supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan memantau suasana sekeliling serta mematuhi nasihat dikeluarkan kerajaan Republik Turki.

"Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa," katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.