Header Ads

Datuk Johan CEO Tabung Haji baharu ganti Tan Sri Ismee

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan Datuk Johan Abdullah sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH yang baharu.

Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam satu kenyataan hari ini berkata, Johan akan mengambil alih tugas CEO TH pada 16 Mei ini manakala Pengarah Urusan Kumpulan pada 1 Julai nanti.

“Johan yang kini Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan akan menggantikan Tan Sri Ismee selaras dengan Pelan Pengantian TH yang telah rancang sejak Januari 2015 lalu.

“Beliau menyertai TH pada 15 Januari 2015 sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.

“Sebelum menyertai TH, Johan Abdullah merupakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, BIMB Holdings Berhad,” katanya.

Katanya, Johan adalah pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Morehead State, Amerika Syarikat (AS) dan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Eastern Michigan, AS serta berpengalaman luas dalam sektor kewangan korporat, pasaran modal dan kewangan Islam.

Tan Sri Ismee
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, kepemimpinan dan visi Ismee juga dihargai kerana menyumbang kepada kejayaan TH sehingga memperoleh pengiktirafan dan penghormatan di peringkat antarabangsa.

“Di bawah kepimpinan Tan Sri Ismee, TH berjaya mempelbagaikan portfolio pelaburan serta aliran pendapatannya. Buat kali pertama, pendapatan TH mencecah lebih RM4 bilion manakala keuntungan selepas zakat dan cukai melebihi RM3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

“Dalam tempoh sepuluh tahun, sejak awal 2006 sehingga 2015, TH mencatatkan keuntungan terkumpul melebihi RM18 bilion selain TH juga telah berjaya menanggung subsidi operasi haji berjumlah RM815 juta dan mengekalkan bayaran haji muasassah sebanyak RM9980 sejak 2009,” katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.