Header Ads

Fatwa: Haram guna WiFi orang lain tanpa kebenaran

Pihak berkuasa hal ehwal agama Islam di Dubai mengeluarkan fatwa yang melarang keras daripada menggunakan perkhidmatan WiFi milik orang lain tanpa meminta izin pemiliknya terlebih dahulu.

Fatwa terbaharu tersebut dikeluarkan Jabatan Ehwal Islam dan Kegiatan Amal Dubai (IACAD), lapor portal Emirates247 tanpa menyatakan sama ada ia turut diguna pakai seluruh wilayah Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Untuk rekod, UAE setakat ini mempunyai lebih empat juta pelanggan Internet berdaftar iaitu 80 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya dengan dua firma penyedia perkhidmatan jalur lebar iaitu Etisalat dan Du.

Menurut laporan berkenaan, seorang individu ada bertanya kepada seksyen fatwa jabatan tersebut sama ada orang ramai dibenarkan untuk menggunakan khidmat jalur lebar WiFi hak milik orang lain secara senyap-senyap.

Ini kerana kelajuan internet bagi pemilik WiFi berkenaan sebenarnya secara teknikal boleh terjejas menjadi perlahan akibat terpaksa berkongsi perkhidmatan tersebut dengan ramai pengguna lain pada masa sama.

Emirates247 melaporkan bahawa fatwa itu diterbitkan menerusi laman IACAD di bawah seksyen ‘fatwa moden’ dan menjadi bahan perbualan ramai netizen yang sering ‘curi’ WiFi jiran rumah atau individu bersebelahan.

Fatwa dikeluarkan berkenaan turut menyatakan bahawa orang ramai sebenarnya memang pun dilarang daripada menggunakan perkhidmatan siber hak milik orang lain tanpa bayaran atau tanpa izin tuan punya itu sendiri.

Justeru, menurut kenyataan IACAD, perkhidmatan Internet secara WiFi hanya sah boleh digunakan selepas seseorang itu melanggani pakej tertentu khidmat tersebut, lapor Emirates247.

agensi/ mynewshub
Dikuasakan oleh Blogger.