Header Ads

Jimat kos: Intel kurangkan pekerja sehingga 12,000 orang

Gergasi pengeluar mikro-cip komputer terkemuka dunia, Intel Corp dilaporkan akan mengurangkan pekerja sehingga 12,000 orang.

Jumlah itu mencatat 11% daripada seluruh pegawai yang bekerja di Intel seluruh dunia.

Pengurangan tenaga kerja tersebut dilakukan Intel bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran komputer peribadi (PC) berikutan penurunan jualan produk berkenaan.

Intel memberitahu, mereka kini telah mengalih tumpuan kepada pasaran baharu yang lebih besar iaitu pengeluaran mikro-cip bagi mesin, peranti yang disambung internet, teknologi baharu seperti penjagaan kesihatan, peranti pintar, penggunaan cip untuk kenderaan dan industri.

Pengurangan jumlah pekerja itu akan dilakukan sehingga pertengahan 2017 dan penstrukturan semula semua wakil Intel seluruh dunia akan dilakukan.

Intel berharap pengurangan pegawai itu boleh menjimatkan perbelanjaan syarikat hingga RM2.93 bilion (USD750 juta) pada tahun ini serta sejumlah RM5.5 bilion (USD1.4 bilion) pada pertengahan 2017.

Walau bagaimanapun, Intel enggan mendedahkan negara terlibat dalam pengurangan pegawai yang akan dilakukan.

Intel yang beribu pejabat di Santa Clara, California itu mempunyai kemudahan pengeluaran di Oregon, Arizona, China, Mexico, Israel serta Ireland.
Dikuasakan oleh Blogger.