Header Ads

Kenderaan berjenama Nissan naik harga bermula April

Empat model kenderaan berjenama Nissan diumum naik harga bermula 1 April. | by ArenaPermotoran
Pengedar tunggal kenderaan berjenama Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah mengumumkan kenaikan harga bagi empat model CKD Nissan iaitu Almera, Grand Livina, X-Gear dan Teana 2.0 bermula 1 April lepas.

Pengumuman kenaikan sebanyak 2.8% hingga 6.7% dibuat berikutan kemerosotan nilai Ringgit yang telah memberi kesan besar ke atas kos operasi syarikat itu. Walau bagaimanapun, Nissan antara syarikat automotif terakhir yang menaikkan harga kenderaan keluaran mereka.

Namun, ETCM masih mengekalkan harga bagi empat lagi model Nissan iaitu Serena S-Hybrid, X-Trail, NP300 Navara dan NV200 seperti sebelum ini.

Bagi ETCM, walaupun terpaksa menaikkan harga beberapa model kenderaan mereka, namun tetap berusaha ke arah untuk mengekalkan harga kenderaan Nissan seperti sekarang demi pelanggan mereka.

Senarai harga kenderaan Nissan bermula 1 April. | by Paultan
Menurut portal Paultan, ETCM telah mengambil langkah rasionalisasi kos dan menilai semua operasi rantaian bekalan secara keseluruhan untuk mengurangkan kesan kemerosotan nilai Ringgit.

Mengulas mengenai kenaikan harga tersebut, Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr Ang Bon Beng berkata,

“Berikutan tekanan berterusan akibat kemerosotan nilai Ringgit sejak beberapa bulan lalu, ETCM telah melaksanakan beberapa langkah perlu untuk mengurangkan impak tersebut.

“Namun, oleh kerana tukaran wang asing yang tidak memberangsangkan dan peningkatan kos operasi yang berlanjutan, harga beberapa model terpaksa dinaikkan,” ulas Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr Ang Bon Beng berkaitan kenaikan harga kenderaan Nissan seperti dipetik dari Paultan.

Menurut ETCM, mereka tetap memberikan jaminan untuk terus menawarkan produk dengan nilai tambah dan kualiti khidmat pelanggan terbaik sebagaimana yang diharapkan oleh pengguna.
Dikuasakan oleh Blogger.