Header Ads

Keputusan PRN Sarawak seawal jam 11 malam

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berharap keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada 7 Mei ini, diketahui seawal 11 malam.

Beliau berkata, pihaknya akan memperhebatkan segala bentuk komunikasi dan penggunaan semua logistik bagi memastikan proses pengiraan undi pada Sabtu depan, berjalan lancar.

"Kita berharap pada 6 petang, kita sudah boleh umum (keputusan) kawasan-kawasan tertentu dan (bagi) keseluruhan 82 kerusi Dun pada 11 malam dapat umum parti-parti mana yang menang," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu Program Dalam Radar di Bernama Radio semalam.

Terdahulu, ketika di dalam konti pada program itu, beliau berkata faktor keadaan sesuatu kawasan yang agak jauh dan cuaca pada hari berkenaan juga mempengaruhi jika berlaku kelewatan untuk mengumumkan keputusan.

"Kita seboleh-bolehnya, apabila tutup kawasan pengundian kita akan bawa peti-peti undi menggunakan kenderaan dan logistik yang ada seperti helikopter, perahu, feri dan kenderaan pacuan empat roda.

"Kita juga akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan keselamatan dan kelancaran proses pengiraan undi pada hari tersebut," katanya.

Dari segi keperluan logistik, Mohd Hashim berkata SPR menggunakan 5,057 kenderaan termasuk van, 663 perahu, 64 bot laju dan 38 helikopter, selain 21,000 petugas SPR, bagi memastikan kelancaran proses pengundian dan pengiraan undi.

Mohd Hashim berkata SPR juga menyediakan pelan sokongan bagi memastikan masalah bekalan elektrik tidak berlaku pada hari pengundian.

Katanya PRN Sarawak disifatkan sebagai pilihan raya paling aman kerana sikap toleransi masyarakat berbilang kaum dan etnik di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Hashim yang baru menerajui SPR selama empat bulan, berkata pihaknya mengadakan pelbagai program bersesuaian untuk mendekati golongan muda kerana masih ramai kumpulan berkenaan yang tidak mendaftar sebagai pengundi, malahan tidak mengetahui mengenai proses pilihan raya.

bernama
Dikuasakan oleh Blogger.