Header Ads

Pengemis raih RM286k sebulan

Pihak berkuasa majlis perbandaran Dubai menahan seorang lelaki yang dikatakan mengumpul sehingga 270,000 dirham (RM286,000) sebulan dengan mengemis.

Dalam satu kenyataan, Ketua Bahagian Pasaran majlis berkenaan, Faisal Al Badiawi, berkata, lelaki itu ditahan baru-baru ini dalam kempen pembasmian pengemis yang dilancarkan sejak tiga bulan lalu.

Seramai 59 pengemis profesional ditahan dalam kempen berkenaan dengan kerjasama pihak polis.

“Sebahagian pengemis itu memiliki pasport dengan visa perniagaan atau pelancong. Kebanyakannya memasuki negara ini secara sah dengan visa tiga bulan dan mereka menggunakannya untuk mengumpulkan sebanyak wang yang mungkin sepanjang tempoh itu,” kata Faisal.

Menurutnya, seorang daripada mereka ditahan bersama-sama wang berjumlah lebih 270,000 dirham, hanya sebulan selepas tiba di Dubai.

“Mengikut pengiraan kami, dia memperoleh hampir 9,000 dirham (RM9,500) sehari atau 1,500 dirham (RM1,590) dalam masa satu setengah jam.

Dia mengaku boleh memperoleh lebih banyak dengan mengemis di depan masjid, khususnya pada Jumaat,” kata Faisal.

Katanya, kempen itu akan dilancarkan sepanjang masa, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan bagi membersihkan imej negara itu.

metro/ agensi
Dikuasakan oleh Blogger.