Header Ads

PKR tuntut Kit Siang tarik balik tuntutan kerusi PRN Sarawak

Beberapa jam sebelum penamaan calon, PKR hari ini memohon pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang agar menarik balik tuntutan terhadap kerusi-kerusi yang akan ditandingi PKR di Sarawak.

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya turut berkongsi 'aspirasi' Lim yang mahu memastikan pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya itu, 7 Mei depan.

"Justeru atas semangat tersebut, kami memohon kepada beliau untuk membantu pembinaan pakatan yang berteraskan keseimbangan, saling menghormati dan saling berkongsi.

"Kami merayu Lim Kit Siang untuk menarik semula tuntutan terhadap kerusi-kerusi yang telah ditandingi oleh KEADILAN dan telah diselaras oleh kami hampir sedekad.

"Dengan hanya tinggal beberapa jam sebelum penamaan calon, kami tegas menggesa YB Lim Kit Siang untuk kembali ke meja rundingan dan menjamin situasi menang-menang," katanya.

DAP hari ini mengumumkan bahawa ia akan bertanding kerusi bandar di Dewan Undangan Negeri Batu Kitang dalam pilihan raya itu jika PKR terus meletakkan calon di kerusi luar bandar yang ditandingi DAP.

Pemimpin DAP negeri Chong Chieng Jen mendakwa PKR tidak menghormati perjanjian yang telah ditandatangani antara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

Ia berikutan Pengerusi PKR negeri Baru Bian pada Jumaat lalu berkata parti itu mungkin akan meletakkan calon dan bertembung dengan DAP di lima kerusi.

DAP bagaimanapun berkata ia berpegang kepada perjanjian dengan kepimpinan pusat PKR pada minggu lepas.

malaysia kini
Dikuasakan oleh Blogger.