Header Ads

PRN Sarawak: BN menang tanpa bertanding dua kerusi

Barisan Nasional (BN) mendapat dua kerusi awal bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Pilihanraya Negeri (PRN) ke-11 Sarawak setelah diisytihar menang tanpa bertanding di kedua-dua kawasan Dun.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam sidang media di pejabat SPR Sarawak di Kuching selepas selesai proses penamaan calon PRN Sarawak hari ini.

Kedua-dua kerusi berkenaan ialah Dun Bukit Sari, disandang oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Manakala bagi Dun Bukit Kota disandang oleh Dr Abdul Rahman Ismail.

Menurut Bernama, ini merupakan kali kedua Awang Tengah menang tanpa bertanding selepas turut menang tanpa bertanding pada PRN 1996 di kerusi Dun Bukit Lawas sebelum ditukar nama Dun Bukit Sari selepas berlakunya persempadanan semula pada tahun 2006.

Awang Tengah, yang merupakan Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Industri Sarawak, merupakan Anggota Dun empat penggal di Lawas iaitu 1987, 1991, 1996 dan 2001 serta dua penggal di Bukit Sari pada 2006 dan 2011.

Pada PRN 2011, beliau menewaskan calon PKR Japar Suyut dengan majoriti 5,063 undi.

Bagi Dr Abdul Rahman pula, ini kali ketiga beliau menang di Bukit Kota sejak 2006.

Pada PRN 2011, beliau menang dengan menewaskan calon DAP, Leong Kwang Yew dan dua calon Bebas iaitu Usop Jidin dan Ladis Pandin dengan majoriti 5,061 undi.
Dikuasakan oleh Blogger.