Header Ads

Ranking jatuh pemain dipersalahkan, Safee Sali kritik KJ, "RM100j lesap, senyap"

Susulan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin berhubung ranking Fifa pasukan kebangsaan yang semakin merudum, penyerang negara, Safee Sali meluahkan rasa kecewanya atas perkara tersebut.

Menurut Safee, dia berasa kecewa kerana pemain sentiasa dipersalahkan susulan kejatuhan berterusan ranking pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

“Kecewa. Apabila pasukan kebangsaan ranking merudum, hanya pemain dipersalahkan. Tapi bila RM100 juta lesap, senyap macam itu sahaja.

“Bayangkan berapa banyak kemudahan dan keperluan boleh digunakan dengan duit sebanyak itu,” tulisnya di laman Facebook.

Dalam kedudukan terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di tangga 174 meletakkan sebaris dengan negara yang tidak mempunyai kemudahan bola sepak lengkap.

Ini antaranya seperti Samoa (170), Timor Leste (175), Bangladesh (177) dan Nepal (179).

Khaiy sebelum ini dilapor berkata kualiti Harimau Malaya seakan tidak boleh menunjukkan peningkatan luar biasa dan semua pihak harus menerimanya.

“Jadi apabila ranking jatuh, saya katakan, ia sudah dijangka sebab kita buat banyak pelaburan untuk program pembangunan NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara).

“Apapun, maaflah… pemain sedia ada ini, itulah kualiti yang mereka ada. Mungkin kalau naik (ranking) pun sedikit saja.

“Dengan jurulatih dan apa yang ada sekarang ini, mereka tidak boleh jadi lebih baik daripada itu, namun jangan salahkan mereka kerana itulah potensi mereka,” kata Khairy.

Safee turut berkata pihak-pihak berkaitan seharusnya membantu menaikkan imej pasukan bola sepak kebangsaan dan bukan hanya menyalahkan pemain.

“Sama-sama bantu naikkan imej pasukan bukan hanya menuduh pemain sahaja,” kata Safee.

mynewshub
Dikuasakan oleh Blogger.