Header Ads

Saya masih Menteri Besar - Razif

“Saya masih lagi memegang jawatan MB (Menteri Besar) dan saya akan teruskan tugas seperti biasa,” demikian tegas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif menyatakan perkara berkenaan ketika diminta mengulas mengenai perasaan beliau setelah genap seminggu menjalankan tugas selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin lucut semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada beliau.

Ahmad Razif yang juga Adun Seberang Takir itu juga turut memaklumkan bahawa fokus beliau kini adalah untuk memastikan agenda pembangunan rakyat diteruskan.

“Saya akan teruskan (pembangunan untuk rakyat)... selagi saya masih memegang jawatan MB dan saya tidak ada apa-apa lagi untuk dijelaskan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah tanah Terengganu Halal Business Centre dan Perasmian Karnival Usahawan Anak Terengganu (KUAT) di Perkarangan Sabasun Hyperuncit, Gong Badak, petang tadi.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kesahihan sama ada beliau ada mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum memulakan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Rabu lalu, beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak ada apa-apa ulasan...saya minta maaf...terima kasih semua,” katanya ringkas sebelum meninggalkan majlis berkenaan.

Program yang dihadiri petang ini merupakan majlis rasmi yang pertama dihadiri Ahmad Razif selepas genap seminggu berdepan dengan kemelut sehingga kesemua gelaran beliau ditarik balik.

Ahmad Razif yang kelihatan tenang sepanjang menghadiri majlis berkenaan dan ketika berucap dihadapan kira-kira 100 tetamu beliau memaklumkan kerajaan negeri akan merangka lebih banyak aktiviti untuk rakyat di negeri ini.

sinar harian
Dikuasakan oleh Blogger.