Header Ads

Wan Azizah kesal Mahathir terus serang Anwar

Ramai pemimpin pembangkang condong menyokong pergerakan Deklarasi Rakyat bagi Selamatkan Malaysia yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi pendirian berkecuali seorang pemimpin PKR adalah sukar untuk diabaikan.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak pernah mendedahkan alasan di sebalik beliau menjarakkan diri dengan pergerakan itu, tetapi kekesalannya berhubung kenyataannya Mahathir baru-baru ini, menjelaskan keadaan.

"Saya kesal Dr Mahathir memilih untuk terus meluahkan dendam dan racun ke atas Anwar Ibrahim. Ini berterusan walaupun kemurahan hati Anwar dalam mengampuni keterlaluan tindakan Mahathir sebelum ini.

"Tetapi apabila beliau memilih untuk mengulangi serangan keji kepada Anwar menggunakan institusi sama yang dipilihnya untuk menyerang, saya berfikir bahawa ini tidak boleh diterima," katanya melalui halaman Facebook, gerakan Bebas Anwar.

Isteri kepada bekas ketua pembangkang itu juga menegaskan bahawa ini bukan mengenai cita-cita peribadi, ketika ditanya sama ada beliau mahu Anwar menjadi perdana menteri akan datang.

"Jika ia demikian, saya akan memintanya untuk berhenti menghambakan diri demi kebebasannya dalam mempertahankan prinsip dan kepercayaannya.

"Saya ulangi komitmen ikhlas kami berhubung pembaharuan dan bukannya dendam peribadi oleh mana-mana individu," kata Wan Azizah.

Wan Azizah yang juga adalah ahli parlimen Permatang Pauh berpendapat bahawa Deklarasi Rakyat harus diperluaskan bagi memenuhi permintaan rakyat yang mahukan pembaharuan institusi serta tindakan konkrit untuk melihat gejala rasuah ditamatkan.

"Kedua, Mahathir perlu faham dalam mana-mana kerjasama dengan pembangkang dan masyarakat sivil, kita tidak boleh memilih kaedah autokratik kerana cara kita bekerja adalah berdasarkan konsensus, mengutamakan kebajikan rakyat terutamanya yang terjejas akibat kelembapan ekonomi semasa dan tadbir urus yang cacat.

"Mahathir mesti belajar untuk menerima demokrasi yang kita pilih dan menerima bahawa rakyat akhirnya akan memutuskan apa yang mereka mahu. Mengawal minda hanya mewakili orde lama," katanya.

Pada temu bual dengan akhbar The Australian, Mahathir berkata Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri yang seterusnya.

Bekas perdana menteri itu juga berpegang teguh dengan keputusannya untuk memecat bekas timbalannya pada tahun 1998 dengan mendakwa Anwar sebagai "tidak bermoral."

malaysiakini
Dikuasakan oleh Blogger.