Header Ads

BN menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan

Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan baharu dengan kemenangan bergaya apabila menang majoriti lebih dua pertiga atau 72 daripada 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11).

Kemenangan itu lebih besar maknanya apabila BN merampas tujuh kerusi majoriti Cina termasuk kerusi panas iaitu Batu Kawah yang dimenangi Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian.

Mengikut pecahan parti komponen BN, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang semua 40 kerusi ditandingi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menang tujuh, Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang semua 11 kerusi, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang tiga kerusi, dan calon langsung BN menang 11 kerusi.

Dua kerusi dimenangi mereka pada hari penamaan calon 25 April lalu menerusi kemenangan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Bukit Sari dan Dr Abdul Rahman Ismail (Bukit Kota).

Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri pada jam 10 malam tadi.

Adenan antara yang meraih kemenangan awal, berjaya mempertahankan kerusi Tanjong Datu dengan 6,360 undi. Adenan mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi. Jazolkipli hilang deposit setelah meraih 468 undi.

Menurutnya, ia menunjukkan sokongan rakyat bertambah kukuh terhadap BN di negeri ini. Malah, kemenangan di kerusi-kerusi majoriti Cina yang sebelum ini dikuasai Parti Tindakan Demokratik (DAP) membuktikan sokongan kaum itu kembali beralih kepada BN.

Kemenangan besar dilakar BN kali ini, katanya, merupakan pencapaian bersejarah khasnya bagi Sarawak.

“Kita berjaya memenangi 72 daripada 82 kerusi ditandingi, iaitu lebih daripada dua pertiga, lebih tepat lebih tiga perempat, atau kira-kira 87 peratus. Memang kita menjangkakan kemenangan dua pertiga tetapi tidak sebesar ini.

“Malah, kita berjaya merampas semula Batu Kawah, Repok, Meradong, Dudong dan Piasau daripada DAP (Parti Tindakan Demokratik) iaitu kawasan majoriti Cina bermakna ‘berlakunya ayunan kembali.’

“Di kawasan yang kita tewas, menunjukkan majoriti undi DAP menurun,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri Lama, malam tadi.

Adenan menambah, DAP bukan sahaja tewas beberapa kerusi bandar, malah gagal memenangi sebarang kerusi luar bandar yang ditandingi.

Beliau berkata, kejayaan merampas lima kerusi yang sebelum ini dimiliki DAP, tidak hanya disebabkan faktor pertembungan antara satu sama lain dalam kalangan calon parti pembangkang, tetapi disumbang faktor lain.

“Itu mungkin salah satu faktor tetapi kalau ditambah jumlah undi antara kedua-dua calon pembangkang, jumlah undi diperoleh calon BN tetap lebih banyak,” katanya.

Dalam pada itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di 40 kerusi menang tiga kerusi; Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertanding di 31 kerusi menang tujuh.

Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) yang bertanding di lima kerusi, Parti Islam SeMalaysia (PAS) di 11 kerusi, Parti Amanah Negara (PAN) di 13 kerusi; Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) di 11 kerusi dan calon Bebas 36 orang semua kecundang.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata peratusan turun mengundi ialah 70 peratus atau seramai 777,018 orang pengundi bagi 80 kawasan.

Pada 2011, BN menang 55 daripada 71 kerusi, DAP (15), PKR (3) dan satu oleh calon Bebas.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 11 April, dan disusuli dengan penamaan calon pada 25 April.

Seramai 1,138,650 orang layak mengundi pada kali ini.

theborneopost
Dikuasakan oleh Blogger.