Header Ads

Penduduk kecewa DAP tak bela nasib setinggan di Miri

Kampung Api-Api adalah sebuah kawasan penempatan setinggan yang wujud di pinggir bandaraya Miri sejak 35 tahun lepas dengan kebanyakan penduduk di situ adalah kaum Iban.

Terletak hanya 10 kilometer dari pusat bandaraya ini, kehidupan 256 isi rumah di kawasan itu dalam keadaan daif tanpa bekalan elektrik serta tidak mampu membeli rumah.

Bagi Dubah Samak, 54, hidup tanpa bekalan elektrik sudah sebati dengan rutin hariannya malah set generator digunakan hanya dibuka menjelang waktu senja ataupun waktu-waktu tertentu seperti cuaca panas dan majlis keramaian bagi menjimatkan kos.

Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, pendapatan bulanan wanita itu sebagai buruh hanya kira-kira RM400 sebulan dan tidak mampu menggunakan generator sepanjang masa dengan kos penyelenggaran mencecah RM500 sebulan.

Justeru, Dubah dan penduduk lain di kawasan itu dahagakan kemudahan bekalan elektrik, sebuah jambatan dan peluang memiliki rumah.

Menurut Dubah, sepanjang lima tahun DAP di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau, perkara sedemikian tidak dapat ditunaikan oleh pemimpin-pemimpinnya.

Beliau mendakwa selepas memenangi pilihan raya negeri (PRN) pada 2011, tiada seorang pun pemimpin pembangkang datang menjenguk nasib mereka.

"Yang bersungguh-sungguh membantu kami iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN) meskipun sudah kalah di kawasan ini namun mereka tetap turun padang membina jalan dan memberi peruntukan untuk menampung kos operasi mesin generator," katanya kepada Bernama.

Cakap tak serupa bikin

Timbalan Pengerusi I, Jawatankuasa Kampung Api-Api, Rimban Mawang, 40 berkata penduduk di situ sudah kecewa dengan prestasi DAP dan PKR yang selama ini 'cakap tak serupa bikin'.

"Mereka hanya tahu untuk memburuk-burukkan calon BN dan menggunakan isu besar untuk menentang BN, namun tidak tahu untuk turun padang dan membantu kami.

"Misalnya, kami mahu sebuah jambatan untuk menghubungkan dengan jiran-jiran di kampung itu. Kami menyuarakannya kepada DAP namun selepas itu tidak kelihatan kelibat mereka," katanya.

Beliau berkata apabila pemimpin BN turun padang, mereka terus sahaja bersetuju untuk membina jambatan sementara itu.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa kampung berkenaan, Ita Ujuh, 34, bersyukur kerana jambatan kayu itu sudah siap dibina oleh kerajaan BN.

"Cuma sekarang kami masih berharap agar kerajaan negeri dapat memajukan kehidupan kami dengan memindahkan kami ke kawasan perumahan baharu," katanya.

Pada PRN 2011, calon DAP, Alan Ling Sie Kiong mengalahkan calon BN dari SUPP, Tan Sri Dr George Chan dengan majoriti 1,590 undi.

Pada PRN 2016, Sabtu ini, wakil DAP itu akan mempertahankan kerusi itu dengan dicabar oleh Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting.

bernama/ malaysiakini
Dikuasakan oleh Blogger.