Header Ads

Tan Sri Khalid bantu kempen calon PAS di Sarawak

Kehadiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke Bintulu bagi membantu kempen calon PAS bagi kerusi Samalaju, Zharudin Narudin kelmarin, menambah bahang kempen pilihan raya negeri Sarawak yang masuk fasa kedua minggu ini.

Bekas menteri besar Selangor itu turun padang menemui orang ramai di Pasar Tamu Bintulu pada pagi Isnin bersama jentera PAS di kawasan itu.

PAS Sarawak dalam Facebooknya turut memaparkan gambar Khalid yang memakai baju berwarna putih dan bersongkok beramah mesra dengan orang ramai di situ.

Kerusi Samalaju menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Zharudin, Majang Renggie (BN), Baba Emperan (DAP) dan Michael Lias (Bebas).

Samalaju adalah salah satu daripada 11 kawasan DUN baru di Sarawak.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diminta mengulas kehadiran Khalid berkata, mana-mana wakil rakyat Bebas berhak menyokong mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya.

“Beliau wakil rakyat bebas, berhak menyokong mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya. Saya dimaklumkan beliau datang berkempen bersama dengan calon PAS,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PAS di Kuching.

Hadi, ketika ditanya adakah Khalid akan turut menyertai PAS, berkata: “Itu kena tanya dialah, dia belum mohon lagi.”

malaysiakini
Dikuasakan oleh Blogger.