Header Ads

Chong Wei benam Lin Dan, mara ke final Olimpik Rio

Perseorangan badminton lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir Sukan Olimpik Rio selepas mengalahkan seteru ketatnya, Lin Dan, dalam aksi amat mendebarkan, malam tadi.

Hampir sahaja air mata jaguh badminton negara itu bercucuran selepas berjaya mengalahkan musuh tradisinya itu 15-21, 21-11, 22-20 dalam pertarungan hampir 80 minit.

Lebih manis, kemenangan Chong Wei itu menebus kekalahannya kepada lawan yang sama dalam final temasya Beijing 2008 dan London 2012.

Berakhirlah sudah tempoh kekuasaan Lin Dan bagi tempoh dua temasya Olimpik berturut-turut, dengan final malam esok di antara Chong Wei dan Chen Long -- yang menundukkan Viktor Axelsen dalam satu lagi separuh akhir -- akan menabalkan seorang juara baru.

Namun, sebelum itu, dalam perlawanan separuh akhir ini, Lin Dan sentiasa memastikan dia mendahului jurang mata kepada angka enam di dalam set pertama itu.

Namun, Chong Wei yang tidak menunjukkan tanda-tanda tertekan, kembali bangkit dalam set kedua dengan mendahului selesa 5-0 sebelum mengheret permainan ke set penentuan.

"Set pertama Lin Dan bermain pantas, saya cuba ikut rentaknya. Banyak bulu tangkis terlepas daripada saya, saya memang tak sukakannya.

"Saya memang banyak buat kesilapan mudah.

"Untuk set kedua, saya rasa dia akan berputus asa kerana saya jauh mendahuluinya. Saya tahu dia akan buang permainan kedua itu dan mencuba untuk permainan ketiga," katanya sejurus perlawanan berakhir.

Dalam set penentuan itu, Chong Wei dan Lin Dan sentiasa membuatkan peminat berdebar menanti kesudahan pertarungan mereka buat kali ketiga dalam Olimpik apabila dipisahkan dengan satu mata sahaja.

Pada pnghujungnya, Chong Wei membenarkan Lin Dan menyamakan kedudukan 20-20 biarpun satu ketika pemain negara itu sudah mendahului 20-17.

"Masa set ketiga, peluang 50-50.

"Ketika keputusan 12-13, saya tidak mahu mengulangi (kesilapan) Olimpik London. Saya fikir tiada apa yang rugi. kalau kalah...kalahlah. Saya kena cuba yang terbaik," jelasnya.

Chong Wei juga mengakui tidak menyangka bahawa dia akan kembali bangkit untuk merealisasikan impiannya untuk memburu pingat emas Olimpik.

"Saya tak pernah sangka akan masuk ke final dan mendapat gelaran pemain nombor satu dunia semula," katanya menyorot penggantungannya gara-gara kesalahan doping.

"Saya akan cuba esok lagi."

Menyusuli kemenangan separuh akhir Chong Wei, giliran Chen Long pula menyelamatkan maruah China dengan kemenangan straight set 21-14, 21-15 ke atas Axelsen.

Stadium Astro
Dikuasakan oleh Blogger.