Header Ads

JDT hampiri hatrik juara Liga Super

Johor Darul Ta'zim (JDT) melebarkan jurang kepada tujuh mata dengan pesaing terdekat, Felda United, susulan kemenangan 3-2 dalam pertembungan Liga Super kedua-dua pasukan di Jengka, malam ini.

Perlawanan berlangsung penuh dramatik dengan insiden kekasaran dan kelakuan tidak puas hati terhadap beberapa keputusan pengadil berlaku, selain menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas jaringan.

JDT kini semakin hampir untuk menjulang trofi Liga Super buat kali ketiga, dengan saingan hanya berbaki tiga perlawanan.

Skuad dari selatan itu lebih banyak mengasak kubu lawan di awal perlawanan dengan bebebera usaha menarik ditunjukkan, terutama menerusi sepakan percuma Safiq Rahim yang hanya sempat menemui garisan sebelum dikeluarkan.

Tidak lama kemudian, Azni Taib terpaksa diusung keluar padang akibat menerima terjahan keras Ahmad Syamim Yahya, yang turut memaksa pengadil melayangkan kuning kepadanya.

Amri Yahyah melakukan voley kemas pada minit ke-30 untuk menghadiahkan gol pertama JDT, selepas kekalutan di depan pintu gol Felda yang membawa bola tiba tepat ke kakinya.

Lapan minit berselang, nasib malang berulang buat Felda apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT akibat kekasaran pemain pertahanan, Nor Fadzly Alias, ke atas Amri di dalam kotak penalti. Sepakan tersebut disempurnakan Juan Martín Lucero pada minit ke-37.

Felda, bagaimanapun, menyamakan kedudukan, dengan kedua-dua gol dijaringkan dalam tempoh tujuh minit, masing-masing menerusi Mohd Syahid Zaidon dan Hadin Azman.

Jorge Pereyra Diaz hampir menyumbang gol ketiga JDT apabila penjaga garisan sekali lagi tidak mengesahkan jaringan, sebelum ia dikeluarkan pertahanan lawan.

Kem JDT yang tidak puas hati dengan keputusan itu meluru ke arah penjaga garisan selepas wisel rehat dibunyikan.

Sebaik separuh masa kedua dimulakan, Fadzly memaksa Felda bermain tempang apabila dia dihalau keluar kerana mengutip kad kuning kedua akibat kesilapan memeluk leher Lucero.

JDT tidak menunggu lama untuk menggunakan kesempatan itu, dengan kembali mendahului perlawanan selepas Aidil Zafuan Abdul Radzak menyempurnakan gol ketiga pasukanya.

Amri turut tidak terlepas daripada meraih kad kuning kerana kekasaran ke atas Hadin.

Keputusan perlawanan malam ini:

Felda United 2-3 JDT
Kelantan 1-2 Kedah
PDRM 1-2 T-Team
Perak 4-1 P Pinang
Terengganu 1-1 Pahang
Sarawak 1-1 Selangor

Astro Arena
Dikuasakan oleh Blogger.