Header Ads

Pandelela dan Dhabitah layak ke akhir terjun 10 meter platform Olimpik Rio

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri mara ke peringkat akhir acara terjun 10 meter platform individu Sukan Olimpik Rio di Pusat Akuatik Maria Lenk, di sini hari ini.

Dalam aksi separuh akhir bagi menentukan 12 peserta yang layak ke peringkat akhir, Pandelela yang juga pemenang pingat gangsa acara ini di Sukan Olimpik London 2012, menamatkan aksinya di kedudukan keenam selepas mengumpul 336.95 mata.

Nur Dhabitah, 17, atlet paling muda dalam kontinjen negara di temasya Olimpik kali ini, pula mengumpulkan 307.65 mata daripada lima terjunan untuk mengesahkan tempatnya di final selepas berada di posisi ke-11.

Kesemua 12 peserta teratas daripada 18 atlet yang beraksi di separuh akhir, akan bertarung di peringkat akhir yang dijadualkan pada pukul 4 petang ini waktu tempatan (3 pagi Jumaat waktu Malaysia).

Wakil China, Si Yajie mendahului peserta lain dengan 389.320 mata diikuti penerjun Amerika Syarikat, Jessica Parratto (367) dan seorang lagi atlet China, Ren Qian (362.40).

Pandelela memburu pingat keduanya di Rio selepas meraih perak dalam acara 10m platform seirama berganding dengan Cheong Jun Hoong, minggu lalu. - Bernama

Sinar Harian
Dikuasakan oleh Blogger.