Header Ads

Proton Persona: Tiada lagi CamPro, ia diganti dengan enjin 1.6 liter VVT

Selain dari melancarkan model-model baharu tahun ini, Proton turut membuat susunan semula terhadap barisan enjin pada modelnya, menurut Ketua Pegawai Teknikal Proton, Abdul Rashid Musa. “Kami sedang menyusun semula model dan enjin kami untuk mengelakkan mereka bertindih dan ‘membunuh pasaran’ sesama sendiri,” kata beliau kepada paultan.org.

Pengenalan Persona 2016 akan menyaksikan berakhirnya penggunaan enjin CamPro IAFM (Intake Air-Fuel Module) pada model segmen-B Proton. Dan ia akan digantikan dengan enjin 1.6 liter VVT (Variable Valve Timing) dari Iriz.

Penggunaan enjin IAFM juga akan ditamatkan pada model lain termasuk Saga dan Preve. Saga baharu yang bakal dilancarkan selepas Persona nanti akan menggunakan enjin 1.3 liter VVT juga dari Iriz. Saga FLX sedia ada yang masih lagi berada dalam pasaran pula hanya akan dibekalkan dengan enjin IAFM untuk varian CVT dan manual.

Persona dan Saga generasi baharu akan bertukar kepada penggunaan enjin VVT atas faktor penggunaan bahan api yang lebih efisien. Dari segi kuasa, enjin 1.3 liter VVT pada Iriz menghasilkan kuasa kuda yang sama dengan enjin 1.3 IAFM+ pada Saga FLX (95 PS/120 Nm), manakala enjin 1.6 liter VVT juga menghasilkan kuasa kuda yang hampir sama dengan enjin 1.6 liter IAFM+ (109 PS/150 Nm). Setakat ini, hanya Iriz yang menggunakan kedua-dua jenis enjin berkenaan dalam barisan model Proton.

Untuk Preve pula, enjin IAFM pada varian Executive manual dan CVT akan digugurkan pada masa hadapan, dan ia hanya hadir dalam varian 1.6 liter Turbo CFE dengan kotak gear CVT. Begitu juga Exora, yang hanya ditawarkan dengan enjin 1.6 liter Turbo CFE untuk ketiga-tiga variannya iaitu Executive, Premium dan Super Premium.

Enjin CamPro CPS (Cam Profile Switching) tidak akan diproduksi lagi selepas ini dan tidak lagi dipadankan pada mana-mana model Proton sedia ada. Enjin berkenaan mula diperkenalkan pada Gen2 facelift sekitar tahun 2008, sebelum turut dipadankan pada model lain seperti Waja, Satria Neo dan Exora.

paultan.org
Dikuasakan oleh Blogger.