Header Ads

Regu campuran negara rangkul pingat perak Olimpik Rio

Impian emas beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berakhir dalam masa 45 minit selepas tunduk 14-21 dan 12-21 kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir di final Sukan Olimpik Rio.

Peng Soon-Liu Ying terpaksa mengakui kehebatan gandingan nombor tiga dunia itu yang mahukan kemenangan bukan sahaja untuk pingat emas pertama negara mereka di Rio tetapi hadiah terbaik bagi ulang tahun kemerdekaan Indonesia pada Rabu.

Laluan gandingan negara di Pavilion 4, Riocentro sememangnya sukar kerana hanya menang sekali daripada sembilan pertemuan dengan juara dunia 2013 itu, termasuk yang terbaru apabila tewas 15-21, 11-21 dalam aksi peringkat kumpulan Sabtu lepas.

"Kami sudah cuba yang terbaik tapi lawan jelas lebih bagus," kata Peng Soon yang turut berterima kasih kepada penyokong terutama isterinya Cham May May dan keluarganya di Pulau Pinang.

Dalam set pertama, Peng Soon-Liu Ying sekadar dapat merapatkan kedudukan pada 9-11, sebelum gandingan Indonesia itu melebarkan jurang dan menamatkan set tersebut dengan 14-21.

Cerita sama juga berlaku dalam set kedua apabila pasangan negara memberi harapan seketika pada kedudukan 10-13, sebelum Tontowi-Liliyana memastikan kemenangan yang cukup istimewa untuk kemerdekaan Indonesia ke-71, dengan 12-21.

Namun, Peng Soon-Liu Ying, yang mencipta sejarah menjadi beregu campuran pertama negara mara ke final, tetap mampu berbangga apabila pulang dengan pingat perak.

themalaymail
Dikuasakan oleh Blogger.