Header Ads

Terlalu hampir gapai emas

Pasangan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong sudah terlalu hampir menggapai emas, hanya untuk kesudahannya terhalang oleh dua kali dius, dua servis terkandas dan dua mata pemisah dalam final acara beregu badminton lelaki temasya Rio 2016.

Mereka tewas 21-16, 11-21, 21-23 kepada pasangan China, Fu Haifeng-Zhang Nan, untuk mengulangi pencapaian pingat perak pasangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dalam temasya Atlanta 1996.

Namun, mereka tetap menyumbang pingat perak ketiga negara -- pencapaian terbaik Malaysia dalam temasya Olimpik -- pada ketika penyertaan mereka kali ini tidak pun disasarkan pingat.

Pada awal saingan, V Shem-Tan Wee Kiong bijak mencari segenap ruang gelanggang untuk menamatkan set pertama 21-16 dengan menyerlahkan keyakinan tinggi.

Ketika keyakinan Fu Haifeng-Zhang Nan seakan-akan goyah, sebaliknya V Shem-Wee Kiong bergelut untuk menjelmakan ketenangan seperti mana dalam set pertama, apabila kerap memberi mata mudah kepada lawan.

Selepas mendahului selesa 6-1, barulah beregu nombor empat dunia itu membenarkan mata berganjak buat V Shem-Wee Kiong.

Selesa dengan kedudukan itu, ia terus menyuntik semangat Haifeng-Zhang Nan untuk menamatkan set kedua dengan keputusan 11-21.

Dalam set penentuan, pasangan Malaysia mengamalkan pendekatan berbeza dengan memungut beberapa mata menerusi aksi agresif dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 12-12 sungguhpun Haifeng-Zhang Nan dari awal memimpin permainan.

Buat pertama kalinya, V Shem-Wee Kiong kembali di depan di kedudukan mata 18.
Bagaimanapun, kegopohan dan dua servis pendek membenarkan lawan menamatkan pertarungan selama sejam 10 minit itu dengan keputusan 21-23.

"Saya rasa bangga dapat pingat perak untuk diri sendiri dan Malaysia," kata Wee Kiong.

"Bagai mimpi menjadi kenyataan. Macam tak percaya," sambung V Shem pula.

Mengulas permainan mereka, Wee Kiong berkata, "Memang semasa set kedua, kawalan perasaan kami agak kurang. Kami cuba memberi tentangan tapi tak boleh buat apa. Sudah kalah.

"Ini persembahan terbaik daripada saya. Olimpik ini banyak beri saya keyakinan."

Seperti pasangannya, V Shem turut berasa bangga dengan kejayaan yang dikecapi dan harus memberikan mereka semangat baru dalam kerjaya.

"Keputusan ini akan terpahat dalam sejarah, Kami berasa puas dan bangga. Ia juga satu motivasi untuk kami untuk terus berjuang lagi.

"Terima kasih di atas sokongan anda semua, kami telah melakukan yang terbaik, ini untuk Malaysia."

Astro Arena
Dikuasakan oleh Blogger.