Header Ads

[Gambar] Hakisan teruk, ADUN Tepoh minta kerajaan segera bina benteng pemecah ombak

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim kesal kerana kerajaan masih belum membina pemecah ombak pesisir, sepanjang Pantai Tanjung Gelam dan Mengabang Telipot.

Tegas beliau, benteng batu yang dibina tidak menyelesaikan isu yang sudah berlarutan dan semakin parah itu.

“Benteng batu yang dibina kerajaan hanya penyelesaian sementara. Ia tidak menyelesaikan isu hakisan.

“Ombak kuat akan merempuh kawasan lembut yang belum menerima benteng batu. Hakisan akan terus berjangkit ke lokasi lain sepanjang jajaran pantai,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama warga kawasan terbabit, ‘berjaga-jaga’ pada Rabu malam 28 Disember, ekoran angin kencang dan laut bergelora.

Menurut Jabatan Meteorologi, angin Timur Laut yang bertiup dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki).

Oleh sebab itu, sebahagian besar ‘benteng sementara’ yang dibina kerajaan telah ditelan laut dan tebing pantai semakin curam ‘dimamah’ hakisan.

Justeru, sebelum ini telah beberapa kali dibuat tinjauan dan janji dari pihak kerajaan, beliau menggesa agar pihak berwajib ‘serius’ menangani ancaman yang akan melenyapkan khazanah alam serta manusia itu.

“Kerajaan perlu lebih serius menumpukan usaha menyelamatkan khazanah alam dengan membina pulau buatan yang bersifat sebagai pemecah ombak di pesisir pantai,” .

“Dan kerajaan Negeri perlu bekerjasama dengan pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi menjayakan usaha membina benteng pemecah ombak.

“Usaha ini hendaklah digerakkan segera. Bukan menunggu musim tengkujuh tiba baru menggerakkan projek segera yang membenamkan khazanah pantai Terengganu,”tegas beliau lagi

Katanya, projek mengawal hakisan ini hendaklah disusun secara lebih baik dan berkesan sebagaimana yang dibuat bagi mengawal hakisan di Pantai Teluk Lipat, Dungun.

“projek mengawal hakisan ini hendaklah disusun secara lebih ‘proper’. Saya memuji langkah yang dipelopori oleh ECER melalui projek Mengawal Hakisan Pantai di bawah kelolaan KLCC Projeks Sdn Bhd.

“Projek yang tersusun rapi serta berjangka masa panjang ini mampu memberikan ketenangan buat penduduk. Apatah lagi aspek keselamatan diberikan keutamaan yang tinggi. Tinjauan di Pantai Teluk Lipat, Dungun dapat disaksikan sepenuhnya oleh rakyat Terengganu,”tambah beliau.

Buletin Online
Dikuasakan oleh Blogger.