Header Ads

Satukan ummah, bukan duk belek facebook macam orang tu...

Hebat Tok Guru kita. Dalam penat-penat gagah bawa RUU355 ke sidang Dewan. Dalam sakit-sakit, sampai juga ke Himpunan Solidariti Ummah Untuk Myanmar. Baru lagi rasanya tengok gambar Tok Guru lelah pucat di sudut wad. Sedar-sedar sampai pula di Tehran . Dengar-dengar petah berucap menyatukan umat. Patutnya, baru lepas baik sakit, berehatlah. Belek kitab belek facebook di rumah saja. Macam Dr. MAZA, Dr Zuraimi dan Dr Juanda.

Persidangan di Tehran menyerlahkan segala-gala walaupun musuh nista. Dalam ramai-ramai negarawan muslim, Tok Guru kita yang didamba pandangannya. Dalam ramai-ramai ulama, Tok Guru kita dipilih berbicara di negara kuasa besar Islam sedunia. Bukan sebagai pendengar tetapi berdiri sebagai tokoh bicara. Krisis Bosnia, Perang Teluk , Perang saudara Afghanistan, sengketa Acheh, Konflik Yaman dan banyak lagi, Tok Guru kita dah jadi macam wakil PBB. Kalau ada Khalifah, beliaulah duta ke sana-sini. Siang bekerja untuk ummah. Malam mengabdi kepada Rabbi.

Ramainya orang sakit hati pada Tok Guru. Tok Guru dipukul disindir dari kedai kopi hingga bilik mufti. Kalau musuh politik satu cerita. Ini ilmuwan hadis berceramah di sana-sini bawa title Dr dan Phd pun nanar jiwanya. Aduh, sakit hendak memikirkan ini semua.

Pemergian Tok Guru nampak bercanggah dengan ketuanya di KUIS. Inipun dijadi hujah seolah kerja Tok Guru tak betul belaka. Merdeka jiwa ulama dari Kampung Rusila ini. Di negara kita, Tok Guru merdeka mengutarakan idea politiknya. Caci maki bertimbunan di media sosial tidak jadi kudis gatal mengganggu perjalanan siasahnya. Ideanya bukan sekadar membina agama. Malah kekuatan minda dan semangatnya mampu menyelamatkan bangsa dan negara. Tetapi pepatah ada berkata. Dekat berbau tahi,nanti bila jauh baru berbau bunga.

Hebat bacaan politik ulama haraki ini. Merdeka jiwanya demi Islam seantero dunia. Mata hatinya terang nampak permainan kuasa besar dunia dengan proksi. Perang dicetuskan umat yang jadi mangsa. Licik Mossad, licik CIA. Sedang merekalah dalang persengketaan kita. Media mereka memprojekkan pertembungan Sunni-Syiah. Umat kurang maklumat mudah terpedaya. Tapi Tok Guru kita nampak rencana mereka.

Apakah nanti Tok Guru dibidik oleh mereka? Setelah Tok Guru mendedahkan wajah sebenar di topeng durjana. Mereka tentu bimbang umat ini kembali bersatu. Pasti nanti Tok Guru kita dijadikan seteru. Puas hatilah musuhnya nanti, andai badannya kelak tersungkur diragut peluru?

Hebat Tok Guru kita di sisi manusia. Apalagi di sisi Allah Yang Maha Esa. Kita semua jadi saksi di akhirat nanti. Pasti. Moga Allah pelihara dan beri kesihatan kepada Sang Murabbi.

Sumber tko
Dikuasakan oleh Blogger.