Header Ads

[VIDEO] Tahniah! Faiz Subri cipta sejarah rangkul anugerah FIFA

Mohd Faiz Subri mencipta sejarah selepas menjadi pemain Asia pertama memenangi Anugerah Puskas dalam majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016 di Zurich, Switzerland, sebentar tadi.

Anak kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu mengetepikan dua lagi calon akhir, Jonath Marlone Azevedo da Silva (Brazil) dan Danisuka Rodriguez (Venezuela), selepas diumumkan legenda Brazil, Ronaldo.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan pasukan Pulau Pinang, rakan sepasukan, jurulatih, keluarga dan semua yang mengundi saya," katanya ketika memberi ucapan.

Faiz Subri, 30, yang ditemani Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah, kelihatan tenang ketika diumumkan sebagai pemenang.

Bagaimanapun, ketika mengambil alih rostrum, Faiz Subri mencuit hati hadirin apabila mengambil masa sedikit lama untuk mencari teks ucapan di dalam telefon bimbitnya.

Jaringan menakjubkan yang membawa kepada kemenangan itu, dilakukan Faiz Subri ketika mengambil sepakan percuma untuk membantu skuad Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas.

Pemain Portugal, Cristiano Ronaldo, adalah penerima pertama anugerah itu pada 2009, disusuli pemain Turki, Hamit Altintop (2010), Neymar dari Brazil (2011), pemain Slovakia, Miroslav Stoch (2012), pemain Sweden, Zlatan Ibrahimovic (2013) dan James Rodriguez dari Colombia (2014).

Pada 2015, pemain tidak terkenal dari Brazil, Wendell Lira, yang bermain untuk Club Goianesia, menjadi pemenang anugerah itu.

Anugerah itu mengambil sempena nama lagenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang mencipta kejayaan besar bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan kehebatan pasukan Hungary pada era itu.

Senarai pemenang Anugerah FIFA 2016:

Pemain Lelaki Terbaik: Cristiano Ronaldo (Portugal)

Jurulatih Lelaki Terbaik: Claudio Ranieri (Itali)

Jurulatih Wanita Terbaik: Silvia Neid (Jerman)

Anugerah Fair Play: Atletico Nacional (Colombia)

Anugerah Puskas: Mohd Faiz Subri (Malaysia)

Anugerah Peminat: Penyokong Borussia Dortmund dan Liverpool.

FIFPro World11: Manuel Neuer, Dani Alves, Gerard Pique, Sergio Ramos, Marcelo, Luka Modric, Toni Kroos, Andres Iniesta, Lionel Messi, Luis Suarez dan Cristiano Ronaldo.



sumber astro arena | stadium astro
Dikuasakan oleh Blogger.