Header Ads

Akta bank dakwa Husam Musa

PAS Kawasan Subang telah meneliti video YB Datuk Husam Musa berkenaan dakwaannya bahawa PAS menerima RM90 juta daripada UMNO. Pihak kami memandang serius dakwaan ini justeru jika benar, maka ia dilihat bercanggah dengan garis panduan syariat berkenaan menerima hadiah dan sumbangan khususnya daripada pihak musuh di samping ianya juga bercanggah dengan integriti dan moral itu sendiri. Tetapi pihak PAS Kawasan Subang melihat dakwaan YB Datuk Husam Musa lebih bersifat ‘membuat kecoh’ justeru maklumat dalaman bank di Malaysia ditahap ‘maha rahsia’ yang dilindungi oleh akta-akta dan undang-undang.

Memandangkan asas dakwaan oleh pihak YB Datuk Husam Musa adalah maklumat yang dia ‘tahu’ berkenaan aliran wang di Affin Bank (Berhad), maka pihak PAS kawasan Subang memandang serius dakwaan ini justeru jika benar, maka ia telah melibatkan keselamatan data pelanggan di Affin Bank Berhad yang di lindungi di bawah Islamic Financial Services Act 2013 jika ia membabitkan akaun Islamik dan Financial Services Act 2013 jika ia membabitkan akaun konvensional.

Mungkin YB Datuk Husam menipu orang ramai kerana mustahil beliau boleh mengetahui data bank yang dikategorikan sebagai maklumat maha-sulit yang dilindungi oleh FSA 2013 dan IFSA 2013. Atau mungkin Hussam diberikan maklumat yang salah oleh pihak ‘orang dalam’ Affin Bank dan jika ini benar, maka kesemua penyimpan di Affin bank adalah tidak selamat dan ‘orang dalam’ itu mesti dicari oleh pihak polis dan Affin Bank sendiri.

Atau mungkin jika benar orang itu adalah pimpinan PAS, mungkin itu urusan bisnes peribadinya. Atau jika benar itu adalah duit UMNO yang disalurkan melalui ‘orang UMNO’ kepada ‘orang PAS’ untuk parti sebagaimana dakwaan YB Datuk Husam Musa, maka saya dan ahli PAS keseluruhannya juga ingin tahu siapakah orang itu supaya senang saya dan ahli-ahli PAS lain menendang orang itu keluar daripada parti. Yang cukup pasti ialah PAS tidak menerima apa-apa jumlah daripada Affin Bank Berhad kerana PAS tidak mempunyai akaun di bank tersebut.

Justeru itu, PAS Kawasan Subang melihat dakwaan YB Datuk Husam Musa ini lebih bersifat untuk membuat kecoh demi kepentingan politik partinya, bukan menjaga kepentingan awam. Jika benar sebagaimana dakwaannya, maka pihak kami mencabar Datuk Husam Musa bertanggungjawab mendedahkan siapakah orang yang didakwa itu supaya ia ditendang keluar daripada parti oleh ahli-ahli yang ikhlas. Selagi mana nama itu tidak didedahkan sendiri oleh YB Datuk Husam Musa, maka kami dan seluruh rakyat Malaysia berhak untuk mendakwa YB Datuk Husam Musa sebagai berbohong demi politik murahan.

Demi kepentingan awam, maka PAS Kawasan Subang telah meluluskan sebulat suara melalui mesyuaratnya untuk kes ini disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. Oleh itu, satu laporan polis dibuat pada 20 Februari 2017, jam 10:37 pagi di IPD Sungai Buloh bernombor repot SG.Pelong/000727/17.

Sekian.

Zaharudin Muhammad
Dikuasakan oleh Blogger.