Header Ads

Isu RM90 juta: Tumpu saman Husam lebih berbaloi

Haji Ahmad Amzad
Saya rasa lebih efektif saman Husam berbanding Sarawak Report.

Pertama faktor kos prosiding di UK sangat mahal. Saman perlu dibuat di UK kerana Sarawak Report berpangkalan di UK. PAS punya limitasi kewangan lebih lagi PRU14 sudah dekat. Lainlah kalau PAS memang ada RM90juta itu. Ia juga memakan masa pemimpin yg banyak untuk menghadiri perbicaraan. Liputan perbicaraan mungkin kurang diberi publisiti. Yang keluar media hanya kemungkinan keputusan sahaja mungkin dalam bahasa Inggeris setakat mana kesanggupan wartawan mengikuti perbicaraan dan ia kurang berkesan dari segi value for money .

Sebaliknya saman Husam di Malaysia jauh lebih murah. Peguam Malaysia lebih mudah berkomunikasi dan mengatur strategi perbicaraan dengan pemimpin. Yang lebih utama, sesi crosschecking, soal balas saksi akan jadi sesi yg paling menarik untuk melihat bagaimana Husam mahu membuktikan dan mempertahankan fitnah nya. Wartawan boleh menyiarkan transkrip penuh soal jawab peguam dengan Husam untuk dinilai oleh seluruh rakyat Malaysia. Publisiti perbicaraan ini adalah sangat baik untuk PAS.

Prinsip asas keadilan di Malaysia adalah PAS perlu membuktikan perlakuan fitnah telah dibuat oleh Husam. Ia menjadi fitnah bila apa yg diungkapkan oleh Husam adalah palsu.

Jadi pertama sekali adalah bukti Husam mengungkapkan kata kata itu. Dalam hal ini ia adalah spesifik, ada video, ada saksi yg ramai dan jelas ia tidak menyandarkan kepada pihak lain dalam mengungkapkannya malah menambah perkara baru tentang akaun Affin Bank.

Kemudian beliau kena buktikan apa yg diungkapkan adalah benar. Jumlah RM90juta, akaun siapa dan hubungannya dengan PAS, tarikh, dokumen bank yang berkenaan., saksi saksi yang akan beri keterangan mengesahkan.

Semua dokumen dan saksi ini akan disoal cukup cukup oleh peguam PAS di mahkamah.

Beban pembuktian adalah pada Husam dan dia kenalah bersedia dan pesan elok elok saksi saksinya supaya bersedia.

Faktor Kedua adalah sifat laporan Sarawak Report bertarikh 6 Ogos 2016 hanyalah berupa komentar ringkas dengan menyandarkan dakwaannya pada apa yg didakwanya tanggapan ramai (widely reckoned). Clara Rewcastle Brown dalam respon terhadap notis tindakan saman yg sedang dikemukakan oleh peguam Queens Council yang dilantik oleh PAS cuba berlepas diri dengan berkata Sarawak Report sekadar memetik tanggapan ramai. SR tidak mahu mempertahankan dakwaan RM90juta itu berlaku sebagai pendirian Sarawak Report.

Kelebihan pada PAS adalah SR tidak akan dapat pertahankan dakwaannya bahawa isu ini sudah jadi tanggapan ramai sebelum tarikh SR memuatkan komentarnya. Orang cuma tahu isu ini bila SR mula menulisnya.

Sebaliknya bagi kes Husam, perbuatan fitnahnya sangat jelas, berbutir, lokasi dan masanya direkodkan, ramai yang menjadi saksi dan ia dilapor serta diviral seluruh negara. Video pun ada.

Fitnah ini boleh dianggarkan menjatuhkan nama baik PAS dengan buruk dan bila ia diviral anda boleh bayangkan apa saiz tuntutan saman yg boleh dikemukakan kepada Husam.

Husam betul betul kelihatan seperti 'sitting duck'.

Atas faktor ini, pada hemat saya, fokus saman Husam. Cuba segerakan tarikh perbicaraan. Kalau boleh selesaikan kes ini sebelum PRU14. ATAU sekurang kurangnya Husam telah disoal dikandang saksi.

Husam mahu mainkan isu ini untuk PRU14. Berilah dia peluang bermain secukupnya di Mahkamah

Hj Ahmad Amzad Hashim
12 Februari 2017
Dikuasakan oleh Blogger.