Header Ads

Kenyataan bercanggah Annuar Musa cetus pelbagai persepsi

Daripada dakwaan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers sehinggalah membawa kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hanya dua perkara penting kes Tan Sri Annuar Musa yang menjadi perbualan ramai sehingga kini.

Pertama, Annuar membuat kenyataan menerusi laman Facebook miliknya dengan memberitahu MARA tidak pernah menaja pasukan bola sepak Kelantan, malah lebih terperinci, katanya, logo agensi itu yang ditampal pada jersi Kelantan hanyalah diberikan secara percuma.

Kedua, yang difikirkan agak berbeza daripada terdahulu, Annuar dalam akaun Facebook yang sama, menjelaskan pengedaran salinan surat baucar dan dokumen perjanjian tajaan sebagai bukti keterbukaan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam urusan penajaan.

Kenyataan tidak konsisten Annuar lebih ketara apabila beliau kemudiannya menegaskan sanggup bertanggungjawab dan 'memulangkan' semula semua penajaan daripada MARA dan UniKL kepada pasukan Kelantan jika benar dakwaan ia menggunakan dana tabung pendidikan.

Bukan itu sahaja, MARA turut serta memberi kenyataan yang boleh membuka mata ramai pihak, dengan menafikan mereka menggunakan dana daripada tabung pendidikan dan biasiswa pelajar bagi menaja pasukan Kelantan.

Harus diingati, bukanlah tabung pendidikan ataupun surat-menyurat yang menjadi persoalan, sebaliknya penajaan MARA ke atas pasukan Kelantan ketika Annuar mejawat jawatan pengerusi adalah intipati penting.

Kenyataan-kenyaatan bercanggah itu juga seperti membuka satu ruang lebih besar kepada pemerhati bola sepak negara untuk berbual lebih panjang mengenai status kepemimpinan ahli politik itu.

Kesediaannya untuk tampil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, mungkin memberi satu penawar buat penyokong politiknya walaupun ramai memikirkan tindakan sebaliknya pun, ia tidak menjejaskan kedudukan Annuar dalam dunia politik.

Tetapi dalam bola sepak, ketika namanya juga tersenarai antara calon presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pastinya kes itu mencetuskan pelbagai rasa.

Sebelum ada penyokongnya yang berkata 'siasatan dan calon presiden' tiada kaitan tetapi wajar untuk terlebih dahulu menjelaskan reputasi Annuar sebagai calon presiden sudah terjejas dari awal.

Harus juga diingati, kes Annuar ditimbulkan lawannya daripada senarai calon presiden FAM, Tunku Ismail.

stadiumastro
Dikuasakan oleh Blogger.