Header Ads

PAS sedia tanding 100 kerusi parlimen

PAS mempunyai 190 kawasan di seluruh negara kini berusaha lebih mahu mensasarkan kemenangan parti di peringkat kerusi parlimen.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hasrat Presiden parti mahukan kemenangan sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen itu realistik.

Justeru, katanya gerak kerja PAS bagi menawan beberapa buah negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, disokong ahli parti.

“PAS Pusat meletakkan ‘target’ memerintah Terengganu pada PRU14, mengekalkan kemenangan di Kelantan, merampas kembali Kedah, menguasai Perak dan Selangor.

“Dahulu, kita (PAS) fokus kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja, sekarang kita fokus Parlimen pula. Kita ada 190 kawasan seluruh negara.

“Kita ada satu juta ahli (PAS) lebih takkan tanding 40 kerusi atau 80 kerusi, sekurang-kurang 100 lebih kerusi bertanding,” ujarnya di hadapan 300 hadirin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Dana Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, PAS Dun Bukit Besi, di Dewan Darul Bayan, Pinang Merah, Paka, Dungun, pada Jumaat 3 Februari.

Namun, katanya bergantung kepada penelitian PAS Pusat pula dari sudut kemampuan jentera parti di semua peringkat.

Dato’ Tuan Ibrahim menegaskan PAS tidak akan bersama dengan DAP dan PAN dalam gabungan Pakatan Harapan.

Sebaliknya, kata beliau, PAS telah pun mewujudkan kerjasama blok ketiga bersama dengan Parti Ikatan.

Hadir sama pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik dan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Besi, Ustaz Ghazali Sulaiman.

buletin online
Dikuasakan oleh Blogger.