Header Ads

Secara rasmi Padang Merbok sebagai lokasi Himpunan 355


Oleh : Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Pengerusi Sekretariat H355

1. Alhamdulillah, hari ini secara rasminya telah dimuktamad dan diluluskan Padang Merbok Kuala Lumpur yang terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka sebagai lokasi yang dibenarkan untuk Himpunan 355 pada 18 Feb 2017 kelak.
2. Sebelum ini, pihak Sekretariat H355 telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Dataran Merdeka sebagai lokasi Himpunan 355 tetapi ianya telah ditolak oleh pihak DBKL. Malah rayuan pihak kami juga telah ditolak.

3. Namun kami Sekretariat H355 mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana akhirnya pihak DBKL membenarkan Himpunan 355 diadakan di Padang Merbok yang terletak tidak jauh dari lokasi asal iaitu Dataran Merdeka. Malah keluasan antara keduanya juga tidak jauh berbeza.

4. Rombongan Sekretariat H355 yang diketuai oleh Pengarah Himpunan 355 YB Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dan Setiausahanya sdr Kamaruzaman Mohamad hari ini telah menemui En Norazam bin Mohamed Nor Timbalan Pengarah (Hortikultur) DBKL di pejabat beliau Menara DBKL 3 Jalan Raja Abdullah Kuala Lumpur bagi membincangkan beberapa perkara penting berkait kelancaran Himpunan 355 kelak.

5. Pada jam 2.30 petang tadi pula, pertemuan bersama ACP Mohd Sukri Kaman, OCPD Dang Wangi telah dilangsungkan bagi tujuan yang sama dan mendapat permit himpunan dari pihak PDRM.

6. Justeru itu, seluruh rakyat Malaysia dijemput hadir mengimarahkan Himpunan 355 dan men"purple"kan Kotaraya Kuala Lumpur dengan semangat kesatuan dan kemuliaan ummah dan pastinya ia bakal menjadi himpunan bersejarah ummat Islam serta seluruh rakyat (tanpa mengira agama dan bangsa) yang menghormati hak ummat Islam untuk beramal dengan syariah Islam yang diwahyukan oleh Allah swt. Tuhan Yang Maha Mencipta.

7. Himpunan 355 ini bukan sahaja aman tetapi sarat dengan pengisian yang akan membina spiritual, mental dan fizikal secara santai melalui acara dan aktiviti menarik yang akan dipersembahkan kepada peserta himpunan. Bahkan himpunan ini dianjurkan dengan penuh semangat persaudaraan lantas memupuk kesejahteraan melalui usaha memperkasakan syariah Islamiyah.

8. Himpunan 355 ini secara rasmi ya akan bermula seawal jam 2.30 petang sabtu 18 Feb 2017 sehinggalah bersurai pada jam 11.00 malam. Antara aktiviti menarik ialah :

i - Pentas Anak Muda bersama selebriti undangan dan hiburan yang Islamik

ii - Ceria Ilmiah bersama Ybhg Ustaz Azhar Idrus dan soal jawab agama

iii - Solat Asar, Maghrib dan Isyak berjamaah

iv - Solat, Munajat dan Tazkirah dipimpin oleh Sohibus Samahah Dato' Dr Zulkifli Al Bakiri Mufti Wilayah Persekutuan

v - Bayan Amal Islami oleh pimpinan Jamaah Tabligh.

vi - Selawat cinta Rasul saw. pimpinan para Habaib Hafizahumullah.

vii - Pidato pimpinan masyarakat, ngo dan tokoh-tokoh negara.

viii - Deklarasi Himpunan 355

ix - Pidato YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.

9. Para peserta Himpunan 355 disarankan datang awal bagi mengelak dari terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Pihak penganjur tidak menyediakan parking khas bagi kenderaan sebaliknya mengesyorkan supaya kenderaan seperti bas serta lainnya menurunkan penumpang di Masjid Negara dan seumpamanya. Kemudian disarankan agar kenderaan mengambil parking masing-masing diluar kawasan ibukota sebelum masuk kembali sebelah malam untuk mengambil penumpang.

10. Kenderaan besar boleh juga mengambil parking dipinggir ibukota, kemudian peserta masuk ke lokasi menggunakan kenderaan awam seperti LRT dan Komuter.

11. Peraturan dan Arahan Am buat peserta Himpunan 355 akan dikeluarkan sedikit masa lagi. Nasihat saya agar semua hadir dengan tertib dan mempamerkan akhlak mulia. Tidak melakukan provokasi, sebaliknya memelihara ketenteraman awam, menjaga kebersihan, tidak merosakkan harta awam dan alam sekitar. Beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan petugas Himpunan 355 yang menjalankan khidmat mereka mengurus himpunan yang besar ini.

12. Kami juga ingin tegaskan bahawa himpunan ini bukan demonstrasi atau perarakan yang mencetus huru hara dan gangguan kepada ketenteraman orang ramai, sebaliknya ia satu himpunan aman selaras dengan akta Perhimpunan Aman. Langkah ini diambil bagi mengelak sebarang pertembungan dengan pihak berkuasa dan memastikan himpunan ini berjalan dengan jayanya.

Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera

Sekian
Dikuasakan oleh Blogger.