Header Ads

Seorang lelaki mengamuk gara-gara kredit susut RM4 setiap hari

Berang apabila kredit telefon prabayar susut RM4 setiap hari, seorang lelaki mengamuk dengan memecahkan pintu kaca dan beberapa telefon bimbit di dua cawangan sebuah syarikat telekomunikasi di bandar Sibu, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Saiful Bahari Abdullah, berkata lelaki berusia 30 tahun itu pada mulanya bertindak merosakkan premis di Jalan Wong King Huo pada jam 1.45 tengah hari.

Lelaki itu kemudian memecut kenderaannya ke sebuah lagi pusat khidmat syarikat telekomunikasi sama di Jalan Keranji dan memecahkan pintu hadapan premis berkenaan.

"Polis berjaya menjejaki suspek yang bekerja di sebuah pusat hiburan di sini dan menahannya di sebuah lokasi di Jalan Belian pada jam 5 petang tadi.

"Kayu golf yang digunakan untuk merosakkan premis itu turut dirampas dan suspek ditahan untuk tindakan lanjut," katanya.

Saiful Bahari berkata, siasatan awal mendapati dia mengamuk hanya kerana tidak berpuas hati kerana mendakwa kredit prabayarnya berkurangan sebanyak RM4 setiap hari.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, pengawal keselamatan di sebuah premis berkenaan, Kumbang Empera, 54, berkata serangan itu berlaku dengan pantas dan dia turut tercedera di belakang telinga kanan.

"Ketika kejadian, saya menyangka lelaki itu adalah pelanggan biasa. Saya melakukan rutin biasa membuka pintu untuk pelanggan tetapi belum sempat saya buka pintu, suspek menghayun kayu golf ke pintu kaca premis ini.

"Saya tidak sempat mengelak dan serpihan kaca itu terkena belakang telinga sehingga luka sedikit," katanya ketika ditemui di premis itu.



bharian
Dikuasakan oleh Blogger.