Header Ads

5 pasukan Liga M didedah tidak bayar gaji pemain

Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) akan menghantar surat kepada lima pasukan Liga Malaysia yang bakal berdepan pemotongan mata kerana masih gagal melunaskan gaji pemainnya pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam bagaimanapun enggan mendedahkan nama kelima-lima pasukan tersebut dan hanya akan berbuat demikian selepas surat dihantar secara rasmi pada Jumaat.

"Kita akan keluarkan surat berkaitan isu ini. Seperti saya katakan sebelum ini kita tak pernah umumkan nama pasukan yang terlibat. Oleh itu, tidak adil untuk kita umumkan selagi tindakan belum diambil.

"Jadi selepas surat dikeluarkan kepada pasukan terlibat esok, kita akan buat pengumuman rasmi mengenai isu itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat penyelarasan Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2017 di sini Khamis.

Bagaimanapun, Kevin berkata kelima-lima pasukan itu boleh mengemukakan rayuan berhubung perkara itu.

"Sesiapa sahaja boleh merayu ke atas apa-apa tindakan yang boleh diambil. Tapi saya nak tanya rayuan itu atas apa? Masa dah diberi cukup panjang. Ini bukan isu gaji bulan lepas tapi isu pada tahun 2016," katanya.

mStar
Dikuasakan oleh Blogger.